DPPRompin Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Kepada Semua Warga Pahang.

Aidiladha atau Hari Raya Korban mempunyai begitu banyak manfaat dengan gandaan pahala yang berlipat kali ganda kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar merayakannya dengan keinsafan dan kebahagiaan melalui kunjung mengunjung antara sahabat handai dan saudara mara, bahkan Aidiladha turut menyediakan lebih peluang kepada seluruh umat Muhammad untuk mengerjakan ibadat korban semata-mata kerana ingin mendapat pahala dan keberkatan hidup daripada Allah s.w.t.

Aidiladha juga menyimpan pelbagai gambaran yang berbentuk pengajaran dan teladan yang harus diterjemahkan sendiri oleh setiap umat Islam.

Dalam melakukan ibadat korban , dilarang sama sekali seseorang itu bersifat riak, sama ada sebelum atau sesudah melakukan ibadat tersebut. Melakukan korban semata-mata ingin menunjukkan bahawa seseorang individu itu berada atau mempunyai wang yang banyak adalah ditegah oleh agama. Sesudah binatang yang dijadikan korban itu disembelih dan disempurnakan dagingnya, maka adalah disunatkan ia disedekahkan kepada fakir miskin dan jiran tetangga yang tidak melakukan korban dan juga yang kurang berada. Sesungguhnya Allah akan memberikan satu lagi ganjaran pahala kepada orang yang telah melakukan korban tersebut.

Di samping itu, tujuan melakukan korban juga adalah untuk mengenang kisah pengorbanan nabi Ibrahim a.s. terhadap anak kesayangan baginda iaitu Nabi Ismail a.s. Sesungguhnya walaupun sebesar mana jumlah korban yang dilakukan oleh umat Islam, namun masih tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang telah melakukan pengorbanan yang paling agung dalam hidup baginda.

Nabi Ibrahim bukan sahaja berkorban hati dan perasaannya, bahkan terpaksa melakukan sebesar- besar pengorbanan dengan menyembelih anaknya sendiri kerana taatkan perintah Allah, kerana sesungguhnya apa-apa jua yang datang daripada Allah itu adalah benar. Nabi Ismail sendiri sebagai anak yang patuh kepada Allah dan bapanya dengan redha dan rela telah membenarkan dirinya dijadikan korban kerana mimpi bapanya itu benar-benar daripada Allah dan ia wajib dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur tanda keakuran yang tidak berbelah bagi.

Namun Allah bukanlah bersifat kejam dan zalim kerana menitahkan
hal tersebut kepada Nabi Ibrahim, tetapi sekadar menuntut ketaatan
dan kepatuhan Ibrahim terhadap apa jua perintah-Nya. Maka dengan demikianlah apa yang berlaku adalah sebaliknya. Nabi Ismail telah digantikan oleh Allah s.w.t. dengan seekor kibas sewaktu upacara pengorbanan dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

petikan : Utusan Malaysia

%d bloggers like this: