Kesedaran rakyat boleh tundukkan keangkuhan BN

KUALA LIPIS 25 Dec (Hrkh) – Pengarah Pilihan raya PAS Pahang, Mejar (B) Abdul Aziz Yaakub berkata, kebangkitan kesedaran rakyat, boleh menundukkan keangkuhan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dalam pilihan raya umum 1999 dahulu, kejayaan Barisan Alternatif (BA) meraih lapan kerusi di Pahang bukan disebabkan kekuatan BA tetapi kerana kesedaran rakyat.

“Kesedaran rakyat terhadap salah laku pemimpin Umno/BN menyebabkan mereka memprotes parti itu,” katanya ketika berucap pada majlis Hi tea di Padang Tengku, dekat sini (gambar).

Menurutnya, kesedaran rakyat berasaskan maklumat penyelewengan, salahguna kuasa yang dilakukan pemipin menyebabkan rakyat mengalih sokongan terhadap parti alternatif.

Sebelum itu, Abdul Aziz ketika berucap kepada ahli anggota Majlis Tindakan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (MTD) Padang Tengku, Benta dan Ceka menggesa semua pihak memastikan tiada ahli keluarga tercicir daripada menjadi pengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan sasaran parti tercapai.

Menurutnya, PAS Pahang mempunyai sasaran tertentu dalam pilihan raya akan datang dan sasaran yang dibuat adalah berasaskan fakta dan maklumat yang sahih.

“Kita tidak membuat sasaran melulu tetapi berasaskan fakta yang diperolehi daripada MTD sendiri,” ujarnya.

Katanya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya semua pihak berusaha gigih melaksanakan segala perangcangan yang telah dibuat.

Antaranya ialah ahli-ahli perlu mengambil berat ahli keluarga, saudara mara serta rakan-rakan agar mereka semuanya menjadi pengundi PAS.

Selain itu, usaha berterusan untuk mendapatkan undi ahli-ahli umno juga perlu dibuat. Ini kerana ahli Umno tidak semestinya mengundi BN mereka boleh menjadi pengundi pembangkang.

Menurutnya lagi, kuasa rakyat harus mengujudkan persaingan dikalangan parti-parti politik dengan memberi kemenangan kepada BA. Ini terbukti keujudan suara pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) pada tahun 1999 banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya persaingan itu menjadikan parti yang berkuasa merasa kedudukan mereka tergugat menyebabkan mereka memberi tumpuan kepada rakyat. Dengan itu rakyat akan mendapat manfaatnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jabatan Pilihan Raya PAS (Jpn) mengadakan perlawanan bolasepak persahabatan dengan pasukan Belia Selborne Estet, dalam perlawanan itu pasukan Jpn tewas 3-2 kepada pasukan lawan. – mr

 

 

%d bloggers like this: