PAS tidak akan boikot p’raya umum

aPemuda PAS mengambil keputusan tidak akan memulaukan pilihanraya umum akan datang kerana tindakan sebegitu boleh mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat dan membahayakan keselamatan negara.

Sebaliknya Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, PAS sudah bersiap sedia menghadap pilihanraya umum dan memfokus untuk bertanding di seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, walaupun pembangkang mempersoalkan ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), ia tidak menjadi sebab untuk menarik diri daripada pilihanraya.

Katanya, tindakan menarik diri dari pilihanraya akan menyebabkan kemarahan rakyat dan mereka akan menyalurkannya dengan cara yang tidak demokratik dan ini boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

“Kita percaya rakyat tidak mahu Malaysia menjadi seperti Pakistan dan Iraq kerana tidak ada demokrasi di kedua-dua negara tersebut termasuk pilihanraya.

“Oleh itu pembangkang mesti menyediakan saluran untuk rakyat melepaskan rasa marah dan tidak puas hati mereka kepada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya pembangkang memulaukan pilihanraya umum akan datang.

Cabaran Rashid

Abdul Rashid mencabar parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihan rayaumum akan datang sekiranya mereka tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihanraya di negara ini.

Beliau berkata, tidak ada gunanya pembangkang menyertai pilihanraya jika mereka tetap mengutuk serta menuduh sistem pilihanrayadi Malaysia penuh dengan penyelewengan.

Katanya, Abdul Rashid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara.

“Apa akan berlaku kepada keselamatan negara jika pembangkang benar-benar memulaukan pilihanraya?

“Mungkin akan berlaku huru-hara kerana tidak ada demokrasi dan rakyat tidak ada ruang kebebasan di dalam negara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Salahuddin meramalkan kerajaan akan mengadakan pilihanraya umum selepas perayaan Tahun Baru Cina pada 8 dan 9 Febuari depan.

Beliau berkata, beberapa ahli Parlimen yang ditemuinya baru-baru ini setuju bahawa pilihanraya umum akan diadakan selepas perayaan tersebut.

P’raya Februari?

Katanya, beliau berkata demikian berdasarkan beberapa faktor yang mendorong kerajaan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum selepas tarikh tersebut.

Beliau berkata, kerajaan mahu mengadakan pilihanraya pada tarikh tersebut kerana beberapa faktor termasuk yang ada hubungkait dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan BN tidak mahu membenarkan Anwar bertanding kerana jika ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding ia memberi kekuatan moral kepada pakatan pembangkang.

“Atas sebab itu kerajaan mahu mengadakan pilihanraya sebelum Anwar boleh bertanding,” katanya.

Anwar yang pernah dikenakan hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan salahguna kuasa pada 1999 hanya boleh bertanding dalam pilihanraya selepas April 2009.

Manakala faktor-faktor lain, kata Salahuddin ialah kerajaan mahu menaikkan harga minyak bagi meringankan beban subsidi yang ditanggung selama ini.

Beliau berkata, sebaik sahaja pilihanraya umum diadakan kerajaan akan menaikkan harga minyak.

“Manakala satu lagi faktor yang mendorong kerajaan mahu mengadakan pilihanraya selepas perayaan tahun baru Cina ini ialah pemilihan jawatan dalam Umno yang bermula Mei ini.

“Oleh kerana pemilihan perhimpunan agung Umno sudah tidak boleh ditangguhkan lagi, kerajaan mahu mengadakan pilihanraya awal bagi mengelak perpecahan di kalangan pemimpin Umno,” katanya.

Salahuddin berkata, kepulangan jemaah haji juga menjadi sebab kerajaan mahu mengadakan pilihanraya umum selepas perayaan tahun baru Cina ini.


sumber:  malaysiakini.com

%d bloggers like this: