Akibat batal permit ceramah, Umno-BN mula takut dengan kuasa internet

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Hrkh) – Umno-BN makin terdesak dalam menghadapi pilihan raya sehingga menuduh pembangkang tidak berani mengkritik kerajaan dan sebaliknya menggunakan internet untuk mencapai matlamat politik mereka. <!––>

Menurut Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, pembangkang tidak takut dan masalahnya pihak kerajaan sendiri yang takut dengan tidak memberikan permit untuk mengadakan ceramah.

“Ini termasuk menghalang pembangkang mengadakan ceramah dengan tidak memberikan permit kepada kami, bukan sebab kami yang takut disaman,” ujar ketika dihubungi Harakahdaily.

Tegasnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato’ Seri Rafidah Aziz yang menuduh pembangkang tidak berani mengkritik kerajaan dan pemimpin BN secara terang-terangan kerana takut disaman adalah tidak benar sama sekali.

“Ini kenyataan yang bohong, bukan kerana kami yang takut. Tetapi kerana mereka (kerajaan Umno-BN) tidak memberikan permit kepada ceramah terutamanya di Selangor yang amat sukar sekali untuk mendapatkan permit,” katanya.

Mohamad Sabu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat 10 November 2007 anjuran Bersih juga menjawab dakwaan Rafidah yang menyatakan bahawa pembangkang terpaksa menggunakan internet bagi memburuk-burukkan kerajaan kerana ceramah-ceramah mereka tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Mereka (rakyat) memilih internet sebagai sumber untuk mendapat maklumat alternatif adalah disebabkan mereka bimbang ditangkap apabila menghadiri ceramah, malah tidak kurang juga terdapat yang ditekan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Timbalan Pengerusi Lajnah Teknologi Maklumat PAS, Dato’ Takiyuddin Hasan berkata Umno-BN tidak perlu bimbang ataupun takut terhadap penggunaan Internet oleh pembangkang.

“Kenapa Umno-BN perlu takut jika isi kandungan mengenai isu tertentu khususnya yang menyentuh masalah dalaman kerajaan yang didedahkan mahupun dibicarakan di laman web dan blog jika ianya tidak benar?” katanya yang turut menjawab kegusaran dan dakwaan Rafidah.

Jelasnya, laman-laman web dan blog melalui medium internet adalah saluran yang betul serta tidak menyalahi undang-undang.

“Dalam keadaan di Malaysia mengamalkan dasar ‘Langit terbuka, kepada sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan, teguran dan kritikan melalui pelbagai cara,” ujarnya menyanggah dakwaan Rafidah yang mendakwa pembangkang menggunakan medium internet untuk memburuk-burukkan kerajaan memandangkan cara itu mudah kerana ramai orang boleh akses Internet.

Tambahnya, dalam keadaan kerajaan Umno-BN memiliki jaringan media cetak dan elektronik pun mereka masih sukar untuk menangani golongan yang aktif memeriahkan dunia siber dengan pelbagai maklumat dan pandangan.

“Kenapa Umno tidak menggunakan media yang telah dipegang untuk menjawab segala isu dan persoalan yang timbul mutakhir ini. Sedangkan PAS dan pembangkang mempunyai akses yang terhad kepada media,” katanya.

Tegasnya, penggunaan internet adalah alternatif yang ada bagi rakyat mendapatkan maklumat yang berbeza daripada yang dipaparkan oleh media arus perdana.

“Bahkan ia mungkin merupakan gambaran terhadap rasa kurang yakin dan percaya terhadap isi kandungan berita yang disiarkan ataupun mereka sudah muak dan jemu dengan laporan media kerajaan selama ini,” jelasnya.

Katanya lagi, jika apa yang ditulis itu tidak tepat atau tidak benar, pemimpin-pemimpin Umno-BN ini tidak perlu melatah dan panik.

“Ataupun kemungkinan apa yang dilaporkan itu betul dan sahih. Jadi, ia menjadi penyebab kepada tindakan mereka,” dakwa Takiyuddin.

Bahkan beliau berpendapat, kegusaran Rafidah itu dizahirkan dalam kenyataan yang sama, apabila Rafidah dilaporkan berkata, beliau yakin kritikan terhadap kerajaan akan menjadi lebih banyak lagi terutama menjelang musim pilihan raya nanti. – mks.

%d bloggers like this: