BA bakal cipta sejarah di Pahang

Bahang pilihan raya umum sudah begitu terasa. Pemimpin BN sudah memperhebatkan kempen melalui program-program anjuran jabatan kerajaan sebagaimana lazimnya, manakala media arus perdana dikerah memperhebatkan laporan berbentuk propaganda.

Bagaimanapun di peringkat negeri Pahang Darul Makmur, Pilihan Raya Umum ke-12 bakal mengubah senario politik Pahang. Dijangkakan Barisan Alternatif (BA) akan bangkit.

BA akan melebarkan penguasaannya untuk menamatkan keangkuhan kuasa BN. Ia bukan angan-angan. Asasnya ada peluangnya juga ada.

BA negeri dijangka mampu membuat kejutan dalam pilihan raya akan datang. Berdasarkan pembahagian kerusi yang dipersetujui PAS-KeADILan, PAS akan bertanding 24 kerusi Dun manakala baki 18 kerusi akan ditandingi KeADILan dan DAP.

Difaham KeADILan akan bertanding 10 kerusi Dun manakala DAP lapan.

Jika rakyat memberi peluang kepada BA, perubahan kerajaan akan berlaku, namun kejayaan BA dalam pilihan raya itu bergantung kepada sejauh mana demokrasi diamalkan.

Jika melihat kepada contoh amalan demokrasi pada tiga pilihan raya mutakhir, harapan BA untuk menang sememangnya agak sukar tetapi ia tidak mustahil, ertinya kemenangan boleh dan harus berlaku tetapi sukar.

Hanya pilihan yang bersih dan adil sahaja akan memudahkan BA menang. Justeru itu parti-parti kerabat BA melalui Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Besih) memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih.

Andai kata BA Pahang gagal mentadbir negeri, pastinya ia akan muncul sebagai ‘penegur kuat’ kerajaan. Ini telah dilakukan BA selepas pilihan umum 1999 dahulu. Apabila BA menang lapan kerusi (enam PAS, satu KeADILan dan satu DAP).

Rekod Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari BA menunjukkan mereka berjaya sebagai ‘penegur’ yang berkesan. Ia memberi faedah langsung kepada rakyat.

Penguasaan 99 peratus BN ke atas negeri Pahang sejak 2004 amat merugikan rakyat dan demokrasi. Ini kerana Adun Umno gagal memainkan peranan sebagai penegur kepada kerajaan.

Adun-adun BN itu tidak mampu membuat teguran terhadap salah laku ketua mereka sendiri. Adun-Adun itu bimbang apabila menegur ketua parti, mereka akan disenarai-hitamkan dan tidak akan dipilih lagi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Inilah yang terjadi kepada Dato’ Fauzi Abdul Rahman, bekas Adun Beserah yang cuba menjadi penegur di dalam Umno. Malang bagi Fauzi apabila namanya tidak tersenarai sebagai calon untuk mengekalkan kerusi Beserah dalam pilihan raya umum 2004.

Semasa Fauzi mewakili Dun Beserah (September 1999 hingga Mac 2004), Fauzi jelas sangat berwibawa dan tegurannya terhadap kerajaan negeri amat bernas sehingga Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakub serta barisan Exconya kelu tidak mampu berhujah dengan beliau.

Apabila semua calon parti pembangkang kecuali Leong Ngah Ngah dari DAP tewas dalam pilihan raya umum 2004; BN memiliki suara 99 peratus di dalam Dun. BN tidak perlu bimbang untuk melakukan apa sahaja.

Hasilnya negeri makmur ini tiada apa yang boleh dibanggakan. Apalah yang hendak dibanggakan dengan pencapaikan kerajaan negeri Pahang ini.

Hutang negeri mencecah RM1.7 billion; bajet tahunan telah 10 tahun mengalami defisit; anak syarikat kerajaan terjual satu demi satu, Pahang Cement telah bertukar nama menjadi YTL Cement; agensi kerajaan negeri hampir semuanya mengalami kerugian, sebutlah namanya Perbadanan Kemajuan Negeri (PKNP), Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), perbadanan Stadium, ASPA, Tabung Kumipa, Mentiga, semuanya rugi!

Biarpun syarikat kerajaan negeri mengalami kerugian saban tahun, tiada pula pengerusi syarikat yang disiasat dan dipenjarakan. Para pemimpin Umno Pahang ini kelihatan semakin mewah, lihat sajalah rumah-rumah kediaman milik Adun-Adunnya, besar-besar belaka.

Ada di kalangan mereka menjadi ‘gila nombor’ sehingga sanggup membida nombor kenderaan puluhan ribu ringgit. Termasuk yang menggilai nombor itu adalah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang membayar bidaan menggunakan wang rakyat. Alasannya wang itu dibayar kepada Jabatan Pengangkutan Jabatan (JPJ) sebuah agensi kerajaan juga dan akan menggunakan wang itu untuk membayar gaji kakitangannya.

Tidak kurang juga di antara pemimpin Umno itu yang suka berpoya-poya ke luar negara khususnya ke Indonesia. Kononnya pemimpin tersebut ke Indonesia untuk mencari mimbar masjid!

Turut menjadi perhatian para pemimpin Umno Pahang adalah meningkatkan modal insan. Bagi tujuan itu, rakyat disajikan dengan hiburan karaoke. Ketua-ketua kampung digalakan berkaraoke. Maka berkaraokelah tok ketua bersama anak buahnya seceruk kampung. Apabila Adun hadir, dia turut berkaraoke sama termasuk seorang bekas kadi!

Kegilaan pemimpin Umno terhadap nyanyian ini amat menarik sehinggakan Menteri Besar, Adnan Yaakub menyanyi setiap hari di FM Pahang, suatu pilihan!

Dari sudut agama pula, langkah maaruf nahi mungkar yang dilakukan oleh Umno dan BN Pahang sepanjang empat tahun berkuasa (2004-2008) boleh dipersoalkan.

Pusat perjudian di Genting Highlands masih beroperasi. Pusat peranginan Bukit Tinggi juga bakal menjadi kasino kedua di negeri ini. Jumlah kedai ekor, toto dan nombor ramalan makin meningkat. Islam Hadhari semakin subur di Pahang. Islam yang ‘ada had’, ‘ada hari’!– tajdid

%d bloggers like this: