Akidah bak biskut

AKIDAH ialah disiplin membabitkan kepercayaan dan keimanan.
Ia dianggap perkara utama dalam hirarki beragama bagi seorang Muslim, malah kesempurnaan atau kekurangannya memberikan kesan besar dalam menentukan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Jual agama kejar dunia

Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengambil masa sehingga 13 tahun di Makkah semata-mata untuk memupuk kemantapan akidah di kalangan generasi terawal Islam.
Hasilnya, umat Islam pada peringkat awal itu teguh akidah mereka. Umpamanya Bilal bin Rubah, walaupun diseksa sebegitu teruk di tengah terik matahari, dia tetap cekal mengatakan Allah adalah Esa.

Keluarga Yasir walaupun berdepan dengan hukuman tragis orang kafir, tidak menggadai maruah keimanan mereka.

Tetapi, di akhir zaman ini, akidah umat Islam begitu rapuh malah ibarat biskut yang mudah hancur apabila dicicah dalam minuman.

Apa sudah jadi dengan umat Islam zaman siber yang sanggup melakukan pelbagai perbuatan melanggar akidah seperti ajaran sesat, kezaliman, pecah amanah dan maksiat berleluasa?

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya:

“Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi, antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.” (Riwayat Ahmad)

Mengulas hadis itu, Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata ini membuktikan umat Islam akhir zaman mempunyai akidah yang rapuh menyebabkan mereka mudah menukar agama dan mengisytihar diri murtad tanpa rasa bersalah atau malu.

“Hari ini ada juga golongan yang menjual agama kerana mengejar nikmat dunia, menjual tubuh asalkan dapat hidup mewah dan mengejar habuan dunia seolah-olah agama hanya perkara sampingan,” katanya.

Beliau bimbang dengan fenomena mutahir ini, apatah lagi dengan nisbah bukan Islam berbanding umat Islam termasuk ramai yang lemah imannya.

“Umat Islam patut menjaga iman seperti memelihara nyawa kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka mungkin terjerumus kepada murtad,” katanya.

Menurutnya, ada beberapa perkara yang menjejaskan akidah tetapi ramai tidak mempedulikan.

“Dalam aspek ketuhanan misalnya, jika menganggap Allah bertubuh badan, mempunyai jisim dan isi padu seperti makhluk atau membayangkan serta menggambarkan Allah, hukumnya haram dan boleh menjadi kafir,” katanya.

“Dialah Pencipta langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan dari binatang ternak pasangan-pasangan; dengan itu dikembangkannya zuriat keturunan kamu. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan zat-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Asy-Syura:11)

Surah al-Ikhlas ayat 4 juga menerangkan mengenai keesaan Allah, tidak serupa dengan apa jua sekalipun: “Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”

“Begitu juga dalam aspek kenabian. Jika menganggap Nabi Isa a.s sebagai anak Tuhan atau membawa ajaran Kristian hukumnya menjadi kafir.

“Jika ada mendakwa wahyu turun kepadanya, seseorang itu juga boleh menjadi kafir kerana wahyu diturunkan Allah sudah sempurna.

“Mengaku menjadi nabi juga tidak boleh sebab Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi terakhir,” katanya.

Merujuk kepada fahaman bagi sesetengah aliran Syiah yang melampau, mendakwa malaikat Jibril tersalah menurunkan wahyu pada baginda dan yang sepatutnya pada Ali, ia juga bertentangan dengan pegangan majoriti umat Islam.

Dalam realiti sains hari ini dan ketika fahaman pemikiran bebas tanpa pegangan agama cuba mengambil tempat dalam pemikiran umat dunia, orang Islam turut terkena tempias, sehinggakan ada yang terkeliru mengenai keimanan, dosa, pahala, syurga dan neraka.

Ia menjadi bertambah keliru apabila berdepan dengan cabaran pihak terbabit yang berorientasikan bukti logik dan bersandarkan keupayaan akal manusia semata-mata.

Sudah pasti perkara seperti itu sukar untuk dijelaskan melalui kuasa akal semata-mata kerana ia membabitkan perkara ghaib (sam’iyat).

Beliau berkata, bagi umat Islam perkara ghaib walaupun sukar dibuktikan dengan akal tetap wajib mereka percaya kerana ia salah satu rukun Iman.

“Orang tidak percaya mengenai perkara ghaib seperti dosa, pahala, neraka dan syurga akan menjadi kafir.

“Wahyu dari Allah walaupun tidak boleh dibuktikan dengan akal dan eksperimen sains, wajib diterima.

“Benda-benda yang tidak nampak itu didatangkan untuk menguji keimanan kita,” katanya.

%d bloggers like this: