Demokrasi bukan setakat hak rakyat mengundi

Walaupun antara ciri ciri yang perlu ada dalam amalan demokrasi ialah mempunyai sebuah suruhanjaya pilihanraya yang adil dan telus. Sebenarnya banyak lagi perkara perkara lain yang menjadi syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya sempurna.

Demokrasi yang sempurna lebih daripada sekadar memberi hak kepada rakyat membuang undi seperti yang disangka oleh banyak orang atau sekadar mempunyai badan pengendali pilihanraya yang adil dan telus.

Jauh lebih penting daripada itu ialah memberi peluang dan ruang yang sama luas kepada semua calon yang bertanding – tidak kira calon dari parti yang memerintah mahupun calon parti pembangkang.

Apa yang kita nampak di negara kita ialah jentera kerajaan dan media perdana digunakan oleh parti pemerintah sebagai alat kempen parti mereka. Tentulah ini adalah amalan yang amat salah – jentera kerajaan yang dibiayai dengan duit rakyat, tetapi hanya digunakan untuk kempen parti pemerintah sahaja.

Rakyat mahukan pemimpin yang terbaik untuk memimpin mereka. Tetapi kalau dengan cara yang diamalkan sekarang, apakah dapat dipastikan pemimpin yang terbaik akan terpilih?

Kalaulah kebetulan pemimpin yang terbaik itu datang dari parti pembangkang, maka sudah tentu rakyat tidak akan dapat maklumat mengenainya kerana tidak ada peluang untuk mereka dalam media kerajaan dan media perdana.

Akhirnya rakyat juga yang rugi kerana tidak mendapat pemimpin yang terbaik dalam setiap kali pilihanraya diadakan.

Lebih malang lagi, bukan sahaja parti pembangkang tidak mendapat ruang dan peluang dalam media perdana, malah peluang mereka untuk bersuara dalam media dan saluran lain juga turut dihadkan oleh kerajaan.

Macam macam peraturan telah dibuat bagi menghadkan suara parti pembangkang daripada sampai kepada rakyat. Dengan kata lain, parti kerajaan telah menggunakan undang undang bagi memastikan mereka terus menang dalam setiap pilihanraya.

Apakah kita tidak merasa malu mendakwa yang negara ini demokratik padahal dari segi amalannya, banyak yang tidak demokratik.

Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa tujuan sistem demokrasi ialah untuk mempastikan pemimpin yang terbaik sahaja yang akan terpilih, tetapi bukan untuk dieksploitasi supaya seseorang pemimpin itu terus menerus terpilih.

%d bloggers like this: