Sejarah PRU I Malaya (1955) Siri 2: PAS Menang 1 Parlimen 1 DUN…

 DALAM PRU I yang diadakan pada 27 Julai 1955, PAS juga cuba merebut 2 kerusi parlimen di Selangor tetapi gagal juga. Di kerusi Selangor Tengah terjadi pertandingan 3 penjuru, iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad dari PAS, Hasan Cek Lenggeng dari Parti Negara dan Lee Eng Teh dari Perikatan. Calon PAS dikatakan berpotensi baik. Akhbar tempatan ‘Majlis’ pada 17 Jun 1955, sepuluh hari sebelum mengundi menyebutkan:

Dengan kemunculan Zulkifli Muhammad seorang muda yang bijak bercakap, dan besar pengaruhnya dalam agama, dan memandang bahawa semua orang-orang Melayu beragama Islam sedang ia masuk di dalam soal itu, kemungkinan pihak Perikatan menag di kawasan itu adalah tipis.”

 

Tetapi ternyata keputusannya cuma dapat meraih undi sebanyak 1,311 sahaja, berbanding calon Perikatan sebanyak 5,652 dan calon Parti Negara cuma dapat 839 undi sahaja. Ramai orang Melayu Islam mengundi parti Perikatan, di mana calonnya adalah berbangsa Cina dari MCA. Begitu juga di Pulau Pinang, 4 kerusi dipertandingkan iaitu di George Town, Pulau Pinang, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan dalam pilihan raya Persekutuan itu. PAS cuma bertanding satu kerusi sahaja. Itupun, satu lawan satu di kawasan yang jumlah pengundi Melayu ramai.

 

Dari jumlah pengundi 23,238, pengundi Melayu berjumlah 15,576, Cina 5,027, India 2, 585 dan lain-lain bangsa berjumlah 50 orang. Jumlah pengundi bukan Melayu tidak sampai ½ dari pengundi Melayu. Walaupun begitu calon PAS Haji Zabidi bin Haji Ali kalah di tangan parti Perikatan melalui calon MCAnya berbangsa Cina, Tay Hooi Soo dengan kelebihan undi 12,172, di mana PAS peroleh 3,525 berbanding Perikatan beroleh 15,697. (Sila lihat akhbar Warta Negara 12.6.1055)

 

Mengapa jadi begitu? Mengikut keterangan Haji Zabidi sendiri, memang awalnya beliau yakin menang, memandangkan pengundinya ramai Melayu. Tapi, last minit baru dia nampak kemenangan di pihak lawan. Antara sebab-sebabnya menurut beliau…

 ‘…pihak Perikatan sendiri yang berjaya mengadakan satu jentera pilihan raya yang lebih berkesan. Ranting-ranting UMNO boleh dikatakan telah ditubuhkan dan bergerak di kawasan kediaman Melayu. Sumber kewangan Perikatan dan UMNO sendiri lebih kukuh berbanding dengan PAS. PAS pula tidak mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan memandangkan kesulitan kewangan yang dihadapi olehnya. 

Ini disebabkan parti PAS baharu sahaja ditubuhkan. Dalam hal ini PAS kekurangan tenaga kerja dan kemampuan untuk mempercekapkan organisasinya. Di samping itu ahli-ahli PAS tidak mahu diri mereka dikenali sebagai ahli PAS kerana pengaruh UMNO adalah kuat dan mungkin mereka dipulaukan sekiranya diketahui mereka ahli PAS.’

 

Keterangan oleh Allahyarham Haji Zabidi sendiri dalam temutanya di rumahnya pada 25-11-1976. (Sila lihat ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’. Oleh Md Salleh bin Md Gaus. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984).

 

Berbalik kepada kemenangan calon tunggal PAS satu di parlimen dan satu di negeri dalam kawasan Kerian Perak. Bagaimana boleh menang, sedangkan waktu itu jumlah ahli PAS tak lebih dari 100 ahli sahaja? Calon Persekutuan (parlimen) PAS yang menang Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, waktu itu memegang jawatan Bendahari Agung PAS, datang dari Kampung Pokok Sena Kepala Batas, Seberang Perai. Beliau menjadi Tok Guru pondok di kampong tersebut.

 

Menurut Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, seorang bekas pemimpin Hizbul Muslimin (yang diharamkan pada Ogos 1948) dan petugas di pejabat Agung PAS hingga ke akhir hayat, tidak ada apa-apa rahsia kemenangan YB tersebut kecuali beberapa sebab berikut:

 

Pertama: Kerana pengundi bangsa asing amat kecil jumlahnya dari pengundi Melayu Islam berbanding di tahun 60an hingga sekarang.

 

Kedua: Perasaan mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam masih bersih, tidak dijejaskan oleh sebarang kepura-puraan seperti yang disarankan kepada umum sekarang.

 

Ketiga: Keadaan dan sikap beliau yang begitu sederhana dan tawadhuk. Yang menarik, dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen pilihan raya, kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihan raya. Iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam selaras dengan kehendak rakyat waktu itu, menyebabkan beliau lebih dihormati ramai.

 

Hal ini berbeda dengan calon Perikatan Tuan Haji Sulaiman Palestin, juga datang dari Seberang Perai tinggal di daerah Bukit Mertajam, dikatakan ‘bersikap bongkak’, ‘bermulut bacul’ dan suka merendah-rendahkan calon PAS. Pernah dikatakan calon PAS itu ‘buta bahasa Inggeris’ sedangkan di Dewan Rakyat hanya guna bahasa Inggeris. Tambahan pula, Tuan Haji Ahmad adalah bekas guru kepada Tuan Haji Sulaiman, menyebabkan ramai pengundi-pengundi bersimpati termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.

 

Keempat: Dikatakan UMNO pada masa itu, ahli-ahlinya masih belum berani mengugut, belum ‘pandai menipu’ dan belum ada projek-projek yang hendak disogokkan kepada rakyat, samada bersifat keduniaan atau keagamaan.

 

Kelima: Ialah kerana Tuan Guru tersebut berketurunan Banjar, sesuai dengan jumlah pengundi terbesar di situ adalah suku-kaum Banjar di samping suku-kaum Melayu dan Jawa. Apalagi bila orang Banjar lebih cenderung kepada perjuangan Islam.

 

Perjuangan Tuan Guru Haji Ahmad adalah perjuangan PAS, kerana kasihnya pengundi-pengundi Kerian kepada beliau menyebabkan mereka juga sokong PAS. Mungkin itu juga sebabnya mereka sokong calon yang dipilih oleh PAS Encik Ahmad Kamal di dewan negeri, walaupun pengundi-pengundi itu masih belum jadi ahli PAS. Encik Ahmad Kamal juga menjadi YB tunggal di Dewan Undangan Negeri Perak, antara satu-satunya negeri yang dapat kerusi dalam PRU pertama 1955 di Malaya.

 

Insya Allah bersambung…

Advertisements

Sejarah PRU I Malaya (1955): Bagaimana Pertembungan UMNO-PAS? Siri 1

 JAKARTA, menurut Berita APB no 94/th ke 8, pada 22 April 1953, di bawah tajuk ‘Alim Ulama Malaya Dan Soal Pemilihan Umum di Indonesia’. Berbunyi:

 

Seluruh alim ulama Malaya dalam satu sidangnya yang diadakan di Selangor dan dikunjungi oleh para alim ulama Malaya dari berbagai tempat telah memutuskan, bahawa penyertaan umat Islam Indonesia di dalam pilihan raya umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya, dan adalah haram jika umat Islam Indonesia tidak ikutserta dalam pilihan raya umum nanti.”

Lebih jauh diterangkan bahawa keputusan alim ulama Malaya itu telah diperkuatkan pula oleh Majlis Syar’iyah atau Majlis Agama Islam di berbagai tempat di Malaya yang kedudukannya persis Mahkamah Islam Tinggi di Indonesia.

 

Begitu juga fatwa yang diputuskan oleh Muktamar Alim Ulama dan Muballigh Islam Se Indonesia pada 11-15 April 1953 di Medan, dan Keputusan Majlis Syura Pusat MASYUMI, melalui ketuanya K.H.A.Rahman Shihab dan sekretarisnya K.H.M.Saleh Saudi pada 24 Februari 1953 di Jakarta. MASYUMI ialah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam seluruh Indonesia. Untuk detail lanjut tentang fatwa dan lain-lain sila lihat buku saya ‘Personaliti Muslim’ GG Edar KL (1991).

 

Sebagai sebuah parti politik yang jelas bercita-cita untuk menegakkan negara Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan rakyatnya, PAS menggunakan landasan pilihan raya sebagai salah satu cara untuk mencapai cita-cita tersebut.

 

PAS menyertainya, berdasarkan kaedah fiqh yang mengatakan:

 

Apabila bertemu dua mudharat, maka hendaklah dipilih yang lebih ringan.”

 

Tanpa menyertai pilihan raya umat Islam akan lebih mudah dikuasai oleh musuh-musuh Islam dan kuncu-kuncunya, yakni ditimpa oleh mudarat yang lebih besar dan berat. Oleh itu PAS akan tetap menyertai pilihan raya samada menang atau kalah dan belum bercadang akan memboikotnya.

 

Ada juga yang mengatakan tujuan PAS menyertai pilihan raya persekutuan yang pertama, dengan harapan mempercepatkan langkah-langkah kemerdekaan Tanah Melayu sebagaimana yang diperjuangkan oleh UMNO pada masa itu. PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Tetapi hasilnya, PAS cuma dapat satu kerusi parlimen sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin.

 

PAS juga dapat satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.  Selebihnya di kerusi parlimen, dimenangi oleh Parti Perikatan melalui 34 calon Melayu UMNO, 15 calon Cina MCA dan 2 calon keturunan India MIC. PAS berjaya memperolehi 3.9% undi parlimen dari jumlah 84.46% pengundi yang keluar mengundi.

 

Maka tinggallah Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, sebagai satu-satunya wakil pembangkang tunggal di parlimen, atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan. Sebab-sebab kemenangann dan isu-isu yang dimainkan akan dihuraikan kemudian. Kita lihat dulu beberapa pandangan sebab-sebab kekalahan PAS dalam pilihan raya itu telah dikemukakan.

 

Menurut Ustaz Salehuddin Abdullah, “Adalah disebabkan oleh ketidak upayaannya menembusi kubu UMNO yang sudah begitu kuat, lebih-lebih lagi rakyat pada masa itu sedang mabuk dengan angin kemerdekaan yang secara kebetulan bersesuain dengan isu yang dibawa oleh UMNO.”

 

Clive S Kessler pula berpendapat “Kekurangan organisasi pembangunan yang sampai ke kawasan pendalaman di mana kebanyakan daripada pengundi tinggal. Lagipun, sebagai sebuah parti politik yang baru muncul, PAS belum lagi berkemampuan meluas dan belum mempunyai rancangan dan organisasi yang teratur.”

 

Ustaz Kheider Khatib pula berpandangan, “Kekalahannya adalah akibat daripada masalah kewangan.”

 

Di Kelantan PAS cuba rebut 3 kerusi parlimen atau Dewan Rakyat. Calonnya, Haji Mohd Asri bagi kawasan Pasir Puteh dan Bachok. Haji Mohd Nor bagi kawasan Macang dan Ulu Kelantan, dan Haji Mokhtar Haji Ahmad bagi kawasan Pasir Mas. Semuanya kalah belaka. Dua darinya hilang deposit, kecuali di Pasir Mas yang calonnya Haji Mokhtar.

 

Ustaz Amaluddin Darus mengulas… Dua perkara besar telah dijadikan isu oleh UMNO untuk mengalahkan PAS.  Pertama: ‘Kita pun mahu Islam, tapi merdeka dulu!’ Kedua: ‘Masalah orang Cina yang berkongsi menyokong UMNO, itu adalah syarat Inggeris untuk memberi kemerdekaan pada Tanah Melayu. Kerana itu orang-orang Cina menolong kita, dan apabila kita dapat merdeka, orang-orang Cina kita campakkan seorang demi seorang ke laut’.

 

Ertinya, UMNO yang berkongsi kuasa dengan parti MCA dan MIC waktu itu adalah kerana terpaksa, sebab Inggeris takkan beri merdeka kalau hanya kepada bangsa Melayu atau yang beragama Islam saja. Inggeris gunakan strategi ‘pecah-pecah perintah’ dengan meniup api perkauman melalui UMNO dengan mudah, apabila mereka berjaya wujudkan ‘kuasa politik’ kepada bangsa-bangsa pendatang yang tak sepatutnya ada kuasa pada waktu itu.

 

Api perkauman ciptaan penjajah itulah yang ditiup oleh talibarut-talibarutnya, dari dulu sejak PRU 1 hingga ke PRU 12 sekarang…

 

Insya Allah bersambung.