Haram Sambut Hari kekasih 14 FEB

95360541.jpg

Tiap-tiap tahun ada saja ulamak-ulamak yang memperingati kaum muslimin dan muslimat tentang bercanggahnya dengan hukum Islam mengenai sambutan Hari Valentine atau hari kekasih, namun berapa ramaikah yang berperihatin. Golongan muda, kebanyakan akan terikut-ikut nak menyambutnya. Sudahlah itu, Deejay-deejay di radio dan pengacara-pengacara di TV yang selalu suka mempromosinya. Tidakkah pihak yang berwajib boleh berbuat sesuatu. Apa kata Imam Hadhari???

Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:

“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.”

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

“Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.

Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.’

Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut.

Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine’ sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

“Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala.

“Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,” kata beliau.

Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

“Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia,” kata beliau.

Advertisements

Sejarah PRU I, Malaya (1955) Siri 4: Manifesto PAS.

 PAS dengan usahasama National Convention mencadangkan supaya diadakan pilihan raya pada tahun 1954, dan cadangan National Conference pada tahun 1956, menyebabkan akhirnya pihak British bersetuju mengadakannya pada 27 Julai 1955 iaitu satu tarikh di antara keduanya. Maka, pada 23 Januari 1955 PAS telah membentuk satu Jawatankuasa Khas Pilihanraya.

 

Pengerusinya adalah Dr Haji Abbas (Yang Dipertua Agung waktu itu) sendiri, setiausaha Abdul Hamid Sharif, dan Cikgu Ahmad Awang, Abdullah Akin, Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman Yunus, Ustaz Abdul Wahab Nor, Ustaz Hassan Adli dan Haji Mansor JP sebagai ahli jawatan kuasa bagi mengendalikan gerak kerja PAS dalam pilihan raya itu. Maka lahirlah manifesto pertama PAS. menggunakan simbol ‘tangan terbuka’ iaitu lima jari  yang mewakili lima rukun Islam.

 

Bertajuk ‘Manifesto Persatuan Islam Se-Malaya’.

 

Siasah (Politik).

 

1.      Menyemak dan menyusun semula perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan hasrat rakyat.

2.      Berusaha supaya sekalian ahli-ahli Majlis Mesyuarat, samada Majlis Mesyuarat Persekutuan, Negeri, Jajahan Selat dan Bandaran hendaklah semua sekali dipilih oleh rakyat.

3.      Mengakui kedaulatan Duli-duli Yang Maha Mulia sebagai Raja-raja yang berpelembagaan.

4.      Berusaha menghapuskan dasar pintu terbuka, yakni menahan kemasukan orang dagang ke Tanah Melayu yang merbahayakan kedudukan anak negeri.

5.      Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia.

6.      Berusaha dengan sungguh-sungguh supaya bahasa Melayu diamalkan benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan.

7.      Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan sahaja.

8.      Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi menjapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin.

9.      Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan-peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksananya cita-cita Islam.

 

Ikhtisad (Ekonomi).

 

1.      Berikhtiar dengan bersungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk kemajukan pertanian, perusahaan, perniagaan dan pelayaran.

2.      Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli).

3.      Berikhtiar supaya negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya.

4.      Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas membantu perkembangan ekonomi orang-orang Melayu.

5.      Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan.

6.      Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan negara dengan seberapa kecil yang boleh, dengan memotong segala perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.

7.      Berikhtiar mengadakan peraturan-peraturan untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, buruh, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.

 

Ketenteraan.

 

1.      Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja untuk menjamin keselamatan negara.

2.      Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan tempatnya diganti dengan askar-askar kebangsaan sahaja.

3.      Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya darurat dapat ditamatkan dan undang-undang darurat dimansuhkan.

4.      Berusaha supaya diadakan perkhidmatan negara (Nasional Servise) untuk menjamin keselamatan negara.

5.      Menggalakkan supaya rakyat suka mengambil bahagian dalam pertahanan negerinya (civil defence).

 

Pelajaran dan Pendidikan.

 

1.      Mengambil langkah supaya tiap-tiap kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuai dengan kemajuan.

2.      Pelajaran Agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak yang beragama Islam.

3.      Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan seberapa segera terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.

4.      Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah dan pelajarannya sesuai dengan dasar pelajaran.

 

(Sumber: Faridah binti Ali, Sejarah Awal Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di Kelantan 1953-1959, Latihan Ilmiah Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979.)

 

Selanjutnya akan diperlihatkan pula Manifesto Pilihanraya Federal Perikatan UMNO – MCA –MIC. Insya Allah.

 

Sejarah PRU I Malaya (1955) Siri 3: Polemik Fatwa, Jangan Undi Kafir di Pulau Pinang

 DALAM PRU I 1955 di Pulau Pinang, timbul isu menarik, khususnya di Seberang Perai, termasuk tempat PAS bertanding (Seberang Perai Selatan) mengenai fatwa dikeluarkan oleh beberapa pemimpin agama. Fatwa yang dikeluarkan bersama oleh Haji Abdullah Fahim iaitu Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Mohd Salleh Masri, Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai dan Abdul Halim Al-Hadi, Guru Besar Daerattul Maarif Al Wattaniah, Kepala Batas Seberang Perai (Warta Negara 27.7.1955). 

Mereka dikatakan disuruh oleh golongan tertentu dengan tujuan menyokongnya, bagi menguatkan perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan (Utusan Melayu 25.7.1955 & Warta Negara 26.7.1955). Warta Negara 26.7.1955 menerbitkan sepenuhnya, antaranya menyebutkan:

 

‘…tiap-tiap pengundi yang beragama Islam lelaki dan perempuan yang mempunyai hak undi menurut undang-undang Pilihan Raya Persekutuan yang telah disahkan, wajib menjalankan hak undinya dengan turun ke tempat mengundi dan membuang undinya pada hari dan waktu yang telah ditetapkan, wajib hanya memilih calon yang terdiri dari orang Islam sahaja, sesiapa juga di antara orang Islam yang memberi hak undinya kepada orang yang bukan Islam adalah dianggap bahawa orang itu telah melakukan satu perkara yang berlawanan dengan kehendak ayat-ayat Allah…’

 

(Saya petik fatwa ini dari buku ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’, oleh Md Salleh bin Md Gaus, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984. Di nota kaki fatwa ini dituliskan,‘Mengenai Fatwa Pilihanraya selanjutnya, lihat lampiran L.’ Tetapi bila saya cari di lampiran L, saya nak lihat ayat-ayat Al-Qur’an selanjutnya, tak ada. Samada kesalahan itu disengajakan atau tidak, wallahu ‘aklam.)

 

 Maka meloncatlah kata-kata setuju dari Ustaz Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua PAS yang menyebutkan, ‘…bahawa fatwa itu dikeluarkan oleh orang-orang yang tidak menyebelahi mana-mana parti… (Lihat Warta Negara 26.7.1955).

 

Memang betul pun. Tetapi jelas fatwa tersebut tidak menguntungkan UMNO yang meletakkan calon MCA (bangsa Cina) di kawasan majoriti Melayu (pengundi bukan Melayu tak sampai 50% dari pengundi Melayu) untuk menentang calon Islam dari PAS dalam PRU I (1955) tersebut. Maka pemimpin-pemimpin UMNO Seberang Perai terpaksa cuba meyakinkan pengundi-pengundi Melayu-Islam bahawa fatwa tersebut salah. Mereka meletakkan tanggung jawab itu pada pemimpin-pemimpin PAS, yang mereka sifatkan sebagai penipu, pencuri dan buat dakyah palsu untuk kelirukan pengundi-pengundi UMNO di kampong-kampung (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

 

Mereka menuduh PAS sebagai dalangnya. Mengapa? Kerana ada yang lebih menarik lagi… Lepas itu keluar pula fatwa penafian, juga dari Abdullah Fahim sendiri. Berbunyi:

 

‘…adalah memilih calon yang terdiri dari orang kafir yang terikat dengan UMNO itu tidaklah menjadi haram, bahkan itulah jalan yang dikehendaki masa dan siasah kerana mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.’ (Warta Negara 25.7.1955)

 

Lagi, lebih menarik bila dinyatakan sekali bagaimana beliau sampai (boleh tersilap) mengeluarkan fatwa asal itu. Katanya…

 

Surat itu (fatwa asal yang ditandatangani oleh 3 tokoh agama), dibacakan kepada saya kerana katanya hendak menyokong dan menguatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dan sebab itulah mereka datang meminta sokongan saya. Oleh kerana saya percaya di atas bacaannya (seolah-olah beliau tidak membacanya, main percaya saja), maka saya pun menurun tandatangan.’ (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

 

Penafian itu tidak disetujui oleh 2 lagi penandatangan fatwa asal iaitu Mohd Salleh Masri dan Abdul Halim Al-Hadi. Mereka menekankan, di mana ayat-ayat dalam fatwa itu cukup terang dan jelas tiada berhajat kepada takwil lagi. (Warta Negara 25.7.1955). Mereka mensifatkan penafian itu terpaksa oleh ‘sesuatu sebab tertentu’. Ada yang menyebutkan penafian itu dibuat oleh orang lain bukan dari Abdullah Fahim, orang yang mahu menjaga kepentingan UMNO.

 

Menurut keterangan Sheikh Ali Baldram, ada pendapat yang mengatakan, surat penafian itu dibuat oleh Ahmad bin Haji Abdullah, iaitu anak Abdullah Fahim sendiri, atas nama ayahnya. Tujuannya ialah untuk meletakkan tanggungjawab itu ke atas PAS dengan menjaga politik UMNO sendiri.

 

Kesimpulan:

 

Pertama: Kesan dari penafian itu, boleh membantu memulihkan pengaruh UMNO, dan cuba meletakkan keburukannya kepada PAS. Kerana dikatakan Abdullah Fahim sendiri mendakwa orang yang datang menemuinya itu adalah bukan orang UMNO.

 

Kedua: Melihat kepada surat penafian itu tanpa merojok kepada mana-mana ayat Qu’ran walaupun beliau seorang Mufti yang berwibawa, maka surat itu dibuat bukan dari jabatan atau jawatannya sebagai Mufti, ataupun dibuat secara tergesa-gesa atau seperti yang disebutkan, ‘terpaksa oleh sesuatu sebab tertentu’.

 

Ketiga: Pada saya, biasa la tu… Memang dalam negara sekular di bawah penjajah, kuasa politik lebih berkuasa dari kuasa agama. Kerana UMNO atau Perikatan adalah parti ‘anak didik’ penjajah, maka penjajah pasti cuba menentukan kemenangannya dengan memperalatkan jawatan atau jabatan agama. Bahkan pemimpin-pemimpin warisan penjajah yang memerintah negara ini pun, otaknya masih berselepet dan berselaput macam penjajah… kadang-kadang berlagak lebih dari tuan penjajahnya itu!

 

Insya Allah bersambung mengenai manifesto PAS dan Perikatan pula…