Sejarah PRU I Malaya (1955) Siri 3: Polemik Fatwa, Jangan Undi Kafir di Pulau Pinang

 DALAM PRU I 1955 di Pulau Pinang, timbul isu menarik, khususnya di Seberang Perai, termasuk tempat PAS bertanding (Seberang Perai Selatan) mengenai fatwa dikeluarkan oleh beberapa pemimpin agama. Fatwa yang dikeluarkan bersama oleh Haji Abdullah Fahim iaitu Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Mohd Salleh Masri, Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai dan Abdul Halim Al-Hadi, Guru Besar Daerattul Maarif Al Wattaniah, Kepala Batas Seberang Perai (Warta Negara 27.7.1955). 

Mereka dikatakan disuruh oleh golongan tertentu dengan tujuan menyokongnya, bagi menguatkan perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan (Utusan Melayu 25.7.1955 & Warta Negara 26.7.1955). Warta Negara 26.7.1955 menerbitkan sepenuhnya, antaranya menyebutkan:

 

‘…tiap-tiap pengundi yang beragama Islam lelaki dan perempuan yang mempunyai hak undi menurut undang-undang Pilihan Raya Persekutuan yang telah disahkan, wajib menjalankan hak undinya dengan turun ke tempat mengundi dan membuang undinya pada hari dan waktu yang telah ditetapkan, wajib hanya memilih calon yang terdiri dari orang Islam sahaja, sesiapa juga di antara orang Islam yang memberi hak undinya kepada orang yang bukan Islam adalah dianggap bahawa orang itu telah melakukan satu perkara yang berlawanan dengan kehendak ayat-ayat Allah…’

 

(Saya petik fatwa ini dari buku ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’, oleh Md Salleh bin Md Gaus, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984. Di nota kaki fatwa ini dituliskan,‘Mengenai Fatwa Pilihanraya selanjutnya, lihat lampiran L.’ Tetapi bila saya cari di lampiran L, saya nak lihat ayat-ayat Al-Qur’an selanjutnya, tak ada. Samada kesalahan itu disengajakan atau tidak, wallahu ‘aklam.)

 

 Maka meloncatlah kata-kata setuju dari Ustaz Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua PAS yang menyebutkan, ‘…bahawa fatwa itu dikeluarkan oleh orang-orang yang tidak menyebelahi mana-mana parti… (Lihat Warta Negara 26.7.1955).

 

Memang betul pun. Tetapi jelas fatwa tersebut tidak menguntungkan UMNO yang meletakkan calon MCA (bangsa Cina) di kawasan majoriti Melayu (pengundi bukan Melayu tak sampai 50% dari pengundi Melayu) untuk menentang calon Islam dari PAS dalam PRU I (1955) tersebut. Maka pemimpin-pemimpin UMNO Seberang Perai terpaksa cuba meyakinkan pengundi-pengundi Melayu-Islam bahawa fatwa tersebut salah. Mereka meletakkan tanggung jawab itu pada pemimpin-pemimpin PAS, yang mereka sifatkan sebagai penipu, pencuri dan buat dakyah palsu untuk kelirukan pengundi-pengundi UMNO di kampong-kampung (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

 

Mereka menuduh PAS sebagai dalangnya. Mengapa? Kerana ada yang lebih menarik lagi… Lepas itu keluar pula fatwa penafian, juga dari Abdullah Fahim sendiri. Berbunyi:

 

‘…adalah memilih calon yang terdiri dari orang kafir yang terikat dengan UMNO itu tidaklah menjadi haram, bahkan itulah jalan yang dikehendaki masa dan siasah kerana mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.’ (Warta Negara 25.7.1955)

 

Lagi, lebih menarik bila dinyatakan sekali bagaimana beliau sampai (boleh tersilap) mengeluarkan fatwa asal itu. Katanya…

 

Surat itu (fatwa asal yang ditandatangani oleh 3 tokoh agama), dibacakan kepada saya kerana katanya hendak menyokong dan menguatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dan sebab itulah mereka datang meminta sokongan saya. Oleh kerana saya percaya di atas bacaannya (seolah-olah beliau tidak membacanya, main percaya saja), maka saya pun menurun tandatangan.’ (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

 

Penafian itu tidak disetujui oleh 2 lagi penandatangan fatwa asal iaitu Mohd Salleh Masri dan Abdul Halim Al-Hadi. Mereka menekankan, di mana ayat-ayat dalam fatwa itu cukup terang dan jelas tiada berhajat kepada takwil lagi. (Warta Negara 25.7.1955). Mereka mensifatkan penafian itu terpaksa oleh ‘sesuatu sebab tertentu’. Ada yang menyebutkan penafian itu dibuat oleh orang lain bukan dari Abdullah Fahim, orang yang mahu menjaga kepentingan UMNO.

 

Menurut keterangan Sheikh Ali Baldram, ada pendapat yang mengatakan, surat penafian itu dibuat oleh Ahmad bin Haji Abdullah, iaitu anak Abdullah Fahim sendiri, atas nama ayahnya. Tujuannya ialah untuk meletakkan tanggungjawab itu ke atas PAS dengan menjaga politik UMNO sendiri.

 

Kesimpulan:

 

Pertama: Kesan dari penafian itu, boleh membantu memulihkan pengaruh UMNO, dan cuba meletakkan keburukannya kepada PAS. Kerana dikatakan Abdullah Fahim sendiri mendakwa orang yang datang menemuinya itu adalah bukan orang UMNO.

 

Kedua: Melihat kepada surat penafian itu tanpa merojok kepada mana-mana ayat Qu’ran walaupun beliau seorang Mufti yang berwibawa, maka surat itu dibuat bukan dari jabatan atau jawatannya sebagai Mufti, ataupun dibuat secara tergesa-gesa atau seperti yang disebutkan, ‘terpaksa oleh sesuatu sebab tertentu’.

 

Ketiga: Pada saya, biasa la tu… Memang dalam negara sekular di bawah penjajah, kuasa politik lebih berkuasa dari kuasa agama. Kerana UMNO atau Perikatan adalah parti ‘anak didik’ penjajah, maka penjajah pasti cuba menentukan kemenangannya dengan memperalatkan jawatan atau jabatan agama. Bahkan pemimpin-pemimpin warisan penjajah yang memerintah negara ini pun, otaknya masih berselepet dan berselaput macam penjajah… kadang-kadang berlagak lebih dari tuan penjajahnya itu!

 

Insya Allah bersambung mengenai manifesto PAS dan Perikatan pula…

%d bloggers like this: