BA akan halang majoriti BN di Pahang

TEMERLOH, 12 Feb (Hrkh) – Barisan Alternatif (BA) Pahang akan muncul sebagai pembangkang yang kuat di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang selepas pilihan raya umum akan datang.

 

ni dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui selepas mesyuarat Dewan Harian di pejabat perhubungan PAS negeri, dekat sini.

Menurutnya, beliau yakin BA mampu menafikan majoriti 2/3 BN di dalam Dun Pahang berdasarkan sokongan semasa rakyat terhadap BA.

Pahang mempunyai 42 kerusi Dun yang dikuasai sepenuhnya oleh Umno/ BN pada 2004 kecuali Dun Triang yang diwakili DAP.

Menurut beliau, gelombang kebangkitan rakyat kali ini berbeza berbanding kebangkitan 1999 yang berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kini, kemarahan rakyat berpunca daripada kegagalan kerajaan menjamin keselamatan rakyat, kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barangan keperluan dan sebagainya. Pada masa sama pemimpin Umno menampilkan gaya hidup mewah yang melampau, menyalahguna kedudukan untuk mengaut kekayaan serta moral yang rendah. “Rakyat melihat bagaimana amanah yang diberi untuk mentadbir diguna untuk mengaut kekayaan peribadi, kerabat dan kroni, sehingga ketahap sukar untuk mencari pemimpin Umno/BN yang bersih dari skandal rasuah, seks dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya, di Pahang sendiri ada tokoh-tokoh Umno/BN yang korupsi dan rasuah dilindungi daripada didakwa selagi menjadi Ahli Dewan Negeri (Adun) manakala rakyat biasa yang melakukan kesalahan didakwa di mahkamah dan dihukum dengan cepat sedangkan kemusnahan akibat jenayah yang dilakukan golongan berkedudukan itu jauh lebih besar kesanya terhadap bangsa dan negara.

Rakyat juga kata beliau, melihat bagaimana kuasa tanpa batas yang dimiliki Umno digunakan sewenang-wenangnya seperti mengenakan caj meter terhadap pengguna Jabatan Bekalan Air (JBA) sejak tahun 2006 lalu.

“Ketiadaan pembangkang yang kuat di Dun membolehkan kerajaan melaksanakan caj meter tanpa bangkangan dan rakyat terpaksa membayarnya.

“Walaupun telah membayar caj sekaligus meningkatkan pendapatan JBA tetapi mutu perkhidmatan yang diberi JBA tetap tidak efisyen, air masih menjadi masalah kepada rakyat di Pahang terutama di kawasan Felda,” ujarnya.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya PAS Pahang, Tuan Ibrahim menyatakan semua sudah siap sedia termasuk sudah mengenal pasti calon-calon yang bakal menggalas cabaran PAS kali ini.

Menurutnya, calon PAS kali ini mewakili semua kelompok masyarakat termasuk muslimat dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

“Kita ada calon dari kalangan agama, guru, profesional, pemimpin masyarakat, peneroka dan sebagainya,”katanya lagi. – mks.

 

%d bloggers like this: