Dua peraturan baru pengiraan semula undi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat dua perubahan berhubung peraturan pengiraan semula perbezaan undi calon pada pilihan raya umum kali ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata syarat dua peratus perbezaan undi bagi membolehkan pengiraan semula itu yang diamalkan selama ini, kini dinaikkan kepada empat peratus.

Selain itu, katanya, tempat pengiraan semula undi yang sebelum ini dilakukan di pusat penjumlahan undi, pula diubah ke pusat mengira undi.

 

“Perubahan ini akan mempercepatkan proses pengiraan. Pengiraan semula undi di pusat penjumlahan biasanya biasanya membawa pelbagai masalah. Selain membuang masa, ia boleh menimbulkan ketegangan sehingga menyebabkan keputusan ditangguhkan pada keesokan hari.

“Justeru, SPR mengambil keputusan, tiada lagi pengiraan semula di pusat penjumlahan dan sekiranya perlu pengiraan semula, ia akan diselesaikan di pusat mengira undi,” katanya dalam temu bual dengan Berita Harian di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, kenaikan peratusan perbezaan jumlah undi itu pula dibuat untuk memberi kepuasan kepada calon yang terbabit, selain dapat menjimatkan masa kerana selama ini perbezaan undi untuk tujuan pengiraan semula sangat kecil.

“Dua peratus jumlah yang sangat kecil… mungkin satu atau dua undi saja. Kita mahu perbezaan yang lebih ketara. Kalau ada 15 undi berbeza, baru nampak sesuai dikira semula. Mungkin ada kesilapan ketika pengiraan… maklumlah malam, mata mungkin tak berapa jelas,” katanya.

Mengenai tarikh sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, beliau berkata, pilihan raya paling sesuai diadakan pada musim cuti persekolahan kerana ia memudahkan SPR menggunakan sekolah sebagai tempat mengundi.

%d bloggers like this: