Bolehkah PAS mencapai cita-citanya mengajak majoriti rakyat menyokongnya untuk menolak Umno-BN kepada parti Islam, sedangkan Islam itu untuk orang-orang Islam sahaja?

Anggapan Islam itu hanya untuk orang-orang Islam sahaja adalah anggapan yang amat salah dan bertentangan dengan keadaan serta realiti.

Islam yang sebenar adalah untuk semua makhluk, ia untuk manusia seluruhnya, untuk makhluk seluruhnya.

Firman Allah (mafhumnya): “Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Surah Saba’ ayat 28)

Pada hujung ayat itu jelas Allah memberitahu, kebanyakan manusia, termasuk saudara, menganggap Islam hanya untuk orang Islam sahaja.

Tanggapan ini tidak benar kerana Islam adalah untuk semua makhluk.

Persoalan seumpama ini timbul di awal perkembangan Islam di Kota Mekah dahulu, di mana dakwah Nabi Muhammad s.a.w. hanya diimani dan diikuti oleh sebahagian kecil umat Arab sahaja, itu pun mereka dari golongan mustadh’afin (golongan kurang berdaya).

Bilangan pengikut Nabi Muhammad ketika itu amat kecil, terdiri dari golongan yang tidak ternama, kurang berdaya dan hamba sahaya.

Persoalan yang timbul ketika itu, bolehkah Muhammad mengubah masyarakat yang teguh berpegang dengan ajaran jahiliyah, adat resam yang ketat serta kukuh dengan ajaran menyembah berhala?

Namun Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetap yakin bahawa yang benar pasti akan menang dan yang batil pasti akan tumbang. >P>Firman Allah (mafhumnya): “Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah kebatilan; sesungguhnya perkara yang batil itu akan lenyap.” (Surah Isra’ ayat 81)

Perjuangan memartabatkan Islam adalah perjuangan yang benar, cuma pejuang-pejuangnya sahaja yang tidak bersungguh-sungguh.

Namun ada yang berjuang bersungguh-sungguh tetapi tidak mendapat sokongan ramai, sebab itu perjuangan Islam tidak dilihat (terserlah) kebenarannya.

Golongan yang bukan Islam perlu melihat kebaikan dalam pemerintahan Islam.

Malangnya di negara kita, mereka belum berpeluang melihatnya, sebaliknya ditambah dengan orang Islam (Umno-BN) sendiri yang sengaja memberikan gambaran buruk kepada Islam agar bukan Islam tidak menyokong PAS.

Jika orang Islam sendiri menerusi media-media yang dikuasainya memburuk-burukkan Islam, pemerintahan Islam dan undang-undang Islam, tentulah orang-orang kafir akan lebih menolaknya.

Bagi umat Islam yang sebenar, sudah sewajibnya mereka yakin dan percaya dengan kebaikan-kebaikan Islam. Ianya agama Allah. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tentulah agama-Nya penuh dengan kebaikan.

Antara perkara yang menyebabkan orang-orang kafir tidak mahu menerima Islam, adalah kerana umat Islam sendiri tidak menghormati agamanya.

Sekiranya dapat dilaksanakan hukum Islam yang syumul pastilah kebaikannya untuk semua manusia, Islam dan bukan Islam.

Firman Allah (mafhumnya): “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak berasa keberatan untuk menerima apa yang engkau telah putuskan (hukumkan), dan mereka menerima Islam sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’ ayat 65)

Ayat ini mengisyaratkan kepada kebaikan hukuman yang diputuskan oleh Rasul berteraskan daripada al-Quranul Karim, di mana jika dilaksanakan hukum itu dengan baik, orang-orang kafir tidak keberatan menerimanya, setelah mereka membanding-bandingkan antara hukum-hukum ciptaan manusia dengan hukum-hukum Islam yang diturunkan oleh Allah SWT.

Antara contoh yang boleh disebutkan, berlaku dalam sejarah, setelah tentera Tartar/Mongol menyerang dan mengalahkan umat Islam di Baghdad dan sekitarnya, mereka pada mulanya mahu memaksa umat Islam menganut agama penjajah.

Tetapi setelah mereka melihat dan mengamati kebaikan Islam, serta melihat keunikan dan kestabilan hukum-hukumnya, melihat akhlak orang-orang Islam, akhirnya tentera Mongol seluruhnya memeluk agama Islam.

Cita-cita PAS adalah jelas, ianya adalah untuk perjuangan jangka panjang, pasti akan tiba masanya Allah SWT akan menolong orang-orang yang memartabatkan agama-Nya.

Itulah keyakinan yang pasti akan berhasil jua akhirnya. Wallahua’lam.

 

%d bloggers like this: