Awas pelbagai helah BN, petugas PAS digesa berwaspada

a_taknak_bn.jpgBerdasarkan beberapa perkembangan di peringkat nasional dan di Pandan, saya menjangkakan pilihan raya kali ini adalah yang terkotor dan mungkin terganas sejak 1969. Mungkin senario-senario seperti ini akan berlaku.

Bayangkan di satu malam ketika petugas-petugas kita di sebuah bilik gerakan sedang tidur lena, beberapa buah kenderaan yang membawa samseng-samseng Umno tiba. Mereka turun dari kereta dan terus menyerang bilik gerakan itu. Memecah masuk, memukul para petugas dan memecahkan apa saja yang ada.

Seorang dari petugas sempat menelefon polis dan polis tiba dengan segera. Walau bagaimanapun anggota polis yang tiba hanya menyaksikan kejadian tersebut dari jauh. Membiarkan petugas-petugas kita dibelasah dan membiarkan samseng-samseng Umno beredar setelah meninggalkan petugas kita parah dan bilik gerakan kita ranap.

Dalam senario kedua, seorang yang dikenali sebagai penyokong PAS telah ke barong SPR untuk menyemak namanya ketika hari mengundi dengan menyerahkan MyKad beliau. Petugas SPR yang sememangnya seorang ahli Puteri Umno mengambil MyKad itu dan berpura-pura hendak menyemaknya di dalam pejabat. Tetapi beliau tidak kembali dan akhirnya penyokong kita tidak dapat mengundi.

Senario ketiga pula lebih kurang sama dengan senario ketiga. Tetapi kali ini pihak polis, sama ada yang beruniform atau tidak, telah menyerbu petugas-petugas kita yang sedang menampal poster. Mereka telah merampas MyKad petugas-petugas kita dan segala usaha untuk mendapatkannya balik gagal. Akhirnya petugas-petugas kita tidak dapat mengundi.

Andaian-andaian saya ini bukanlah tidak berasas. Kerana sejak akhir-akhir ini, pihak polis di Pandan nampaknya bersungguh-sungguh mengganggu program-program kita.

Machine Gun dan karipap

Ketika dialog kita dengan masyarakat India di Pandan Indah pada 27 Januari lepas, pihak polis telah menggunakan machine-gun untuk menakut-nakutkan masyarakat India. Pada mulanya ramai penduduk India telah berkumpul untuk menghadiri majlis minum teh itu tetapi kehadiran anggota polis dengan machine-gun telah menakutkan mereka.

Alasan Ketua Balai Polis Pandan Indah bahawa mereka hadir di atas sebab-sebab keselamatan hanya akan dipercayai oleh orang yang bodoh. Kita menjangkakan hanya 50 hingga 60 orang yang hadir dan kita datang dengan karipap dan kuih kosui tetapi mereka mempersiapkan peluru hidup untuk kita! Saya yakin kehadiran pihak polis adalah untuk memastikan kaum India yang sedang marah kepada BN tidak bersama PAS.

Pada program mesra rakyat ADUN Chempaka di Pandan Indah 10 Februari lepas tidak pula Ketua Balai itu menghalang program Umno walhal ianya jauh lebih besar dari program PAS malah menggunakan padang awam. Oleh itu, apabila polis menggunakan hujah undang-undang untuk menghalang program-program PAS maka hujah-hujah itu wajar dicampak ke bakul sampah kerana sikap ‘double-standard’ mereka.

Semasa majlis mesra rakyat bersama Pesuruhjaya Negeri Selangor, Dato Dr. Hasan Ali di Kg. Pandan Dalam pada 29 Januari, beberapa orang pegawai polis lengkap beruniform telah tanpa meminta izin menghampiri rostrum ketika beliau hendak berucap. Mereka telah memberitahu Dato’ Hasan bahawa ceramahnya akan dirakam.

Pada saya tindakan menganggu satu majlis rasmi seperti ini adalah satu tindakan biadap. Pernahkah pihak polis menghampiri Dato’ Seri Mohammad Khir Toyo ketika beliau hendak memulakan ucapan dan memberitahu bahawa ucapan beliau akan dirakam?

Saya yakin tujuan tindakan mereka adalah untuk menakut-nakut mereka yang hendak hadir di program PAS. Saya yakin tindakan mereka adalah untuk memperlekehkan pemimpin PAS seolah-olah mahu berkata, “Kamu seorang penjenayah, kami mahu merakam ucapan kamu.”

Jika tidak, apakah keperluan pihak polis mencatit nama dan nombor kad pengenalan VIP dan pemimpin PAS Kawasan selepas program-program kita? Ini satu kerja gila ala Gestapo!

Mungkin peningkatan kadar jenayah merupakan satu bala akibat dari dosa-dosa kerajaan Umno-BN yang memperkudakan pihak polis untuk tujuan politik mereka?

Jika benar Umno-BN tidak menggunakan polis maka kenapa seorang anggota Cawangan Khas Balai Polis Ampang Jaya cuba menyusup ke dalam konvensyen pilihanraya PAS Kawasan Pandan pada 27 Januari lepas? Ia diadakan di pejabat kita dan secara tertutup. Mungkin sebarang maklumat yang cuba diperolehi akan diberikan kepada pihak Umno.

Keselamatan kita, tanggungjawab kita

Kes adik Nurul Jazlin dan adik Sharlinie di mana pihak polis mengaku kebuntuan sepatutnya menginsafkan Umno-BN agar memerdekakan pihak polis dari kerja-kerja politik. Maka saya amat tidak yakin yang pihak polis boleh memastikan tidak berlaku serangan ke atas calon kita, petugas kita atau bilik gerakan kita ketika pilihan raya.

Apabila Naib Yang Dipertua kita dipukul oleh orang kuat ADUN Pandan akhir tahun lepas dan satu laporan polis dibuat, polis gagal menangkap individu yang bertanggungjawab. Tidak ada sebarang dakwaan di mahkamah. Kita tahu di mana penyerang itu tinggal. Pihak polis mengenali dia. Dia nampaknya bebas ke mana-mana. Oleh itu, tidak keterlaluan bagi saya untuk berkata pihak polis sedang melindungi seorang penjenayah!

Maka semasa pilihan raya nanti, kita yang akan bertanggungjawab akan keselamatan kita. Dalam keadaan Umno yang tertekan, mereka akan melakukan segala-galanya.

Petugas kita akan dibelasah atau dilanggar dengan kereta. Bilik gerakan kita akan dibakar. Kereta-kereta kita akan dipecahkan atau tayar dipancitkan. Calon-calon kita akan cuba diculik. Barang-barang terlarang seperti dadah, senjata api, peluru atau majalah dan CD lucah akan cuba diletakkan di dalam bilik gerakan, kereta atau rumah kita.

Rancanglah dari sekarang! Pilihan raya kali ini bukanlah untuk mereka yang lemah semangat perjuangannya.

Jom langgar

Pada tahun 2004 kita amat mematuhi peraturan pilihan raya sehingga saiz bendera-bendera dipasang juga menurut ukuran yang ditetapkan oleh SPR. Walau bagaimanapun, SPR membalas kepatuhan kita ini dengan pengkhianatan.

Mereka sendiri melanggar peraturan-peraturan yang ada. Masa mengundi dilanjutkan tanpa merujuk kepada calon-calon. Daftar pemilih yang digunakan oleh Ketua Tempat Mengundi adalah berlainan dari yang dibekalkan kepada para calon.

‘Enough is enough’. Cukuplah, kita tidak rela ditipu lagi! Seperti kata Naib Presiden, Tuan Haji Mohammad Sabu, kita akan memasuki pilihan raya kali ini bagaikan seekor singa maka saya berharap tidak ada sesiapa dari kita yang merasakan diri mereka kecil dan kerdil apabila berhadap dengan SPR dan Umno-BN. SPR sendiri yang tidak menghormati peraturan pilihan raya maka perlukah kita pula yang tunduk dan patuh?

Pada pilihan raya lepas seorang Polling Agent yang ingin membantah telah dimarahi oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan petugas kita itu terus berdiam diri. Tetapi kali ini ingat, anda bagaikan seekor singa, bagaikan seorang pejuang di Badr, penggempur di Khaibar bukan seekor tikus yang sedang dihambat oleh seekor kucing!

Pada pilihan raya itu juga seorang petugas mengadu kepada saya kerana Umno-BN membawa kereta dan van masuk ke dalam kawasan mengundi. Tetapi kali ini jangan biarkan ia berlaku lagi kerana kita pernah memberi kata dua kepada pihak polis, jika mereka tidak menghalang kenderaan Umno-BN kami akan menghalangnya sendiri!

Work smart atau work hard?

Ada orang bertanya kepada saya bagaimana DAP boleh menang tanpa jentera. Saya tidak boleh menjawab soalan itu tetapi dengan sumber yang sedikit kita perlu work smart. Kadang-kala kita membazir waktu dan tenaga melakukan kerja-kerja yang tidak memberi pulangan yang tinggi.

Apabila kita bercakap tentang kerja-kerja pilihan raya, ramai yang memikirkan hanya tentang menampal poster dan menaikkan bendera. Memang benar bendera dan poster itu perlu ada tetapi adakah poster dan bendera itu faktor utama bagi orang untuk mengundi kita?

Kalau tidak ada poster dan bendera tidak ada syiar tetapi perlukah hampir 80% tenaga kita digunakan untuk gerak kerja poster dan bendera? Adakah kita hanya syok sendiri melihat bendera-bendera kita berkibaran tetapi kita gagal menembusi pemikiran rakyat?

Pada saya ‘direct contact’ atau berhubung terus dengan pengundi itu lebih penting. Pada saya lawatan dari rumah ke rumah, mengedar risalah atau mungkin menghantar SMS itu lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat.

Saya percaya mengedar risalah atau CD dari rumah ke rumah atau di tempat-tempat umum seperti di pasar malam dan stesyen LRT adalah lebih penting dari melekatkan poster-poster plastik kepada tali-tali rafia. Poster-poster plastik yang akan hancur dan tali-tali rafia yang akan berbelit-belit apabila ditiup angin.

Sasaran kita kali ini, setiap warga DUN Chempaka, kerusi yang akan kita tandingi jika diizinkan Allah, akan menerima warkah atau ole-ole dari kita. Di zaman IT ini dengan menekan satu butang kita boleh menghantar 1,000 SMS serentak.

Berperang dengan jentera Umno-BN

Kita mesti jelas bahawa kita berperang dengan jentera Umno-BN bukan rakyat. Jangan kita memusuhi rakyat. Jangan kita berkonfrontasi dengan pengundi. Malah kita juga tidak berperang dengan ahli-ahli biasa Umno. Ramai juga yang mengundi PAS dalam tahun 2004.

Tuan Guru Dato’ Seri Presiden pernah berkata bahawa majoriti pengundi Malaysia adalah jahil. Adalah menjadi tugas kita untuk membawa cahaya ke dalam kegelapan. Kita tidak boleh berputus asa.

Sebagai ahli sebuah gerakan Islam, kita berpegang kepada prinsip bahawa kita adalah pendakwah bukan penghukum. Allah yang menghukum, tugas kita adalah untuk terus menyampaikan yang benar. Label-melabel mestilah dielakkan. Kesannya adalah kepada diri kita.

Jagalah tingkah-laku kita, pertuturan kita, akhlak kita sesuai dengan PAS sebagai sebuah parti Islam. Berpakaianlah seperti yang sepatutnya dan sesuai dengan masa dan ketikanya agar masyarakat yakin yang kita boleh memerintah.

Allah berupaya memberi kesedaran kepada sesiapa yang Ia mahu. Saidina Umar R.A. pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup tetapi beliau akhirnya menjadi tokoh terunggul Islam. Seingat saya tidak ada orang Umno di Pandan yang menanam anak perempuannya hidup-hidup oleh itu kenapa kita mesti berputus asa? Rasulullah menghadapi kepayahan yang tidak terhingga tetapi kita di akhir zaman ini mahukan kemenangan sekelip mata. Tidak malukah kita kepada Allah?

Satu pasukan

Setiap dari kita di Pandan, sama ada di Cawangan, Muslimat, Pemuda atau Kawasan berada di dalam satu pasukan. Ini budaya kita di Pandan, jangan ada yang membawa masuk budaya-budaya asing yang boleh memecah belahkan kita.

Seperti sebuah pasukan bolasepak, walaupun salah satu dari pemainnya gagal berperanan maka pasukan itu akan kalah. Mungkin penyerang dapat menjaringkan 10 gol tetapi pemain pertahanan atau penjaga gol bermain sambil-lewa dan melepaskan 11 gol maka pasukan tersebut tetap akan kalah.

Begitu juga kita sekarang, jika sebagai petugas kita gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kita maka perancangan yang dibuat untuk seluruh DUN kita mungkin akan gagal. Fikirkanlah!

* Penulis adalah Yang Dipertua PAS Pandan

 

%d bloggers like this: