RTM saluran beracun rakyat – Ustaz Idris

3219688742.jpgKUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) – RTM merupakan saluran paling berharga untuk BN menyalurkan suntikan beracun membunuh politik pembangkang daripada terus mendapat tempat di hati rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini bertepatan dengan kecetekan pengetahuan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin yang hanya tahu memfitnah   pembangkang sehingga menimbulkan kecelaruan fikiran rakyat, katanya.

Kedangkalan Zainuddin lebih terserlah apabila semakin hampir pilihan raya beliau mengarahkan RTM menghentam pembangkang khususnya di Kelantan, konon tiada kemajuan sejak 18 tahun di bawah pemerintahan PAS.

Ustaz Idris Ahmad tidak hairan dengan propaganda murahan RTM kerana media itu dipegang oleh seorang menteri yang tidak berilmu.

“Fitnah yang dilemparkan setiap hari oleh RTM itu menunjukkan kelemahan dan kedangkalan menterinya,” tegas beliau.

Beliau yakin masyarakat semakin cerdik dan boleh menilai kualiti dan kelayakan Zainuddin yang sememangnya tidak mempunyai wawasan untuk mendidik rakyat ke arah yang lebih baik dan bermutu.

Katanya, pembohongan akan terus dilakukan oleh media upahan BN untuk menjatuhkan politik pembangkang kerana itu antara kekuatan dimiliki BN selama ini.

Apabila bercakap untuk mewujudkan masyarakat yang berfikiran glokal sudah tentu aspek media merupakan aset terpenting bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat lebih benar dan tepat, katanya.

Beliau berharap media yang dikuasai penuh oleh BN perlu belajar daripada kejayaan media di negara maju yang membenarkan parti-parti politik menggunakan saluran tersebut bagi membentangkan manifesto yang akan dilaksanakan untuk kemajuan rakyat.

“Keadaan itu tidak berlaku di sini. Media hanya berpihak kepada kerajaan dan ia amat bertentangan dengan etika media,” tegasnya. – lanh

 

%d bloggers like this: