BN 30 tahun BN Gerudi Minyak, tetapi Terengganu antara Negeri termiskin

poster_pru_mahligai.jpg

Menelusuri sejarah kemerdekaan negara yang memasuki edisi ke 50 yang lepas, telah membangkitkan banyak persoalan: samada pro atau kontra. Semua negeri yang bernaung di bawah label Perlembagan negara Malaysia masing-masing berlumba-lumba memacu ekonomi dalam kapisiti mengejar tahap negeri maju, sebagaimana hasrat negara ini yang mensasarkan akan turut menjadi negara maju menjelang 2020.

Banyak perkara yang diperbincangkan, samada daripada golongan pemimpin, ahli ekonomi, akademik dan masyarakat (rakyat) sendiri, ada yang telus dan wujud jua golongan ‘pencacai’ yang bermuka-muka dalam melapurkan wajah sebenar negara ini.

Justeru itu, dalam skop pembangunan Terengganu mungkin ramai yang tidak arif untuk membuat perbandingan atau sengaja menutup mata dan memekakkan telinga daripada melapurkan situasi sebenar. Malah ramai juga masyarakat luar daripada Terengganu yang hanya mendengar atau membaca akhbar, akhirnya menelan bulat-bulat pelbagai kisah keajaiban pembangunan di sini.

Kedangkalan membezakan senario sebenar keupayaan ekonomi negeri dengan tahap pembangunan yang rancak di Terengganu menampakkan kesan jelas kejayaan media pro BN memutar belitkan fakta sebenar. Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berat sebelah, tidak mustahil pihak yang berkepentingan akan sentiasa ‘menang’ dengan lakonan sumbang mereka.

Menyingkap selepas 50 tahun merdeka, cuba kita berikan satu jawapan! Apa yang ada di Terengganu berbanding negeri lain? Banggakah rakyat Terengganu yang selama ini hanya menjadi penunggu baris belakang paling setia untuk menerima sesuatu perubahan dan pembangunan?

Umum sudah tahu, minyak ditemui di persisir pantai Terengganu sejak 1978 lagi. Bermula tarikh keramat itu, rakyat pasti berbangga dengan anugerah Allah SWT daripada perut buminya. Namun walau apa jua alasan pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan mengembar-gemburkan istilah pembangunan, pastinya tahap pembangunan di Terengganu sama sekali tidak selari dengan sumbangan duit royalti yang telah diterima.

Habuan beratus billion ringgit dengan kadar 5 peratus setahun sehingga kini dilihat masih belum mampu menjana pembangunan drastik di sini. Hanya akhir-akhir ini sahaja kelihatan curahan projek di Terengganu, itupun dengan nisbah 45 peratus hasil royalti minyak yang sepatutnya diperolehi kerajaan negeri. Malah dengar cakap-cakap kedai kopi, pembangunan itu hadir bersama kepentingan kroni yang terpaksa melakukannya di Kuala Terengganu.

“Sejak tiga tahun lalu, sepatutnya royalti minyak untuk negeri Terengganu adalah sebanyak RM3 billion setahun. Malangnya, kerajaan Idris Jusoh hanya berjaya membawa balik sekitar RM1.4 billion sahaja dalam bentuk pembangunan maujud. Persoalannya, di manakah baki RM1.6 billion lagi?,” ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Zulkifli ketika menyampaikan ceramah di Kuala Ibai.

Katanya, ini merupakan satu kerugian buat rakyat Terengganu di atas hak hakiki mereka. Dengan jumlah duit sebanyak itu, pelbagai masalah pembangunan material dan sosial dapat dilakukan dengan sempurna oleh pihak kerajaan yang memerintah. Namun, sikap pemimpin BN Terengganu yang tidak berfikir panjang ketika meminta kerajaan pusat menarik balik royalti minyak merupakan satu kesilapan bodoh yang pernah dilakukan oleh mereka.

Jika diukur dengan kadar pembayaran royalti semenjak dinasti Wan Mokhtar lagi, betapa malunya seorang rakyat Terengganu ingin mengaku negerinya merupakan sebuah negeri pengeluar minyak apabila dibandingkan dengan pembangunan sebenar yang diterima. Sepatutnya bandaraya Kuala Terengganu bukan sekadar seperti mana yang ada sekarang, sekurang-kurangnya sebesar dan semaju Kuala Lumpur atau Georgetown dari segi prasarana mahupun sosio-ekonominya.

Ironinya, pertumbuhan pembangunan bandaraya juga sepatutnya sudah lama maju . Bak kata orang Terengganu, “kalu nok cakap bodo, lame doh bandor Kuala Teganung bercantum dengan pekan Bukit Payong di bahagian barat, menjangkau sehingga Sungai Tong ke utara dan Bandar Marang di selatan”. Tetapi sayangnya, bagi pelancong yang datang ke bandaraya Kuala Terengganu, mereka hanya memerlukan masa tak sampai 15 minit untuk menghabiskan satu pusingan bandarnya.

Intipatinya, di manakah silapnya kepimpinan Umno dan BN ketika mentadbir negeri terkaya hasil minyak ini. Adakah dengan kadar royalti 5 peratus setahun (RM3 billion sekarang ini) masih belum mampu sesebuah kerajaan merencana pembangunan mampan? Atau adakah semakin banyak yang diperolehi, ianya akan membuat pemimpian sahaja yang semakin kaya. Sudah tentu bagi pengkaji ekonomi yang telus akan ketawa terbahak-bahak apabila melihat senario itu berlaku di Terengganu.

Malah apa yang paling mengaibkan, Abdullah Badawi ketika diwawancara dalam program bersama pemimpin di radio RTM turut mengakui bahawa pihak kerajaan pusat tidak begitu menumpukan pembangunan di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu. Katanya, kerajaan sejak selepas merdeka lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan di bahagian Pantai Barat ekoran melakukan kesinambungan tumpuan pembangunan yang ditinggalkan penjajah.

Sekiranya itulah, anggapan dan dasar pemikiran seseorang Perdana Menteri di negara ini, maka nasib rakyat di Pantai Timur akan terus terbiar untuk selamanya. Sebagaimana kita ketahui bahawa arus pembangunan di sini ketinggalan hampir 20 tahun jika dibandingkan dengan bandar-bandar atau kawasan utama di sebelah Pantai Barat. Secara tidak langsung, ia merupakan satu diskriminasi yang amat ketara telah berlaku, di samping ketiadaan perancangan jangka panjang pihak pentadbir dalam usaha meningkatkan kemajuan di sini standing dengan kawasan utama disebutkan tadi.

%d bloggers like this: