Kaji Semula Bm Untuk Sains Dan Matematik: Bukti Pembangkang Lebih Layak Memerintah

Oleh YB Salahudin Ayub

 Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu kajian dibuat untuk melihat keperluan subjek sains dan matematik diajar semula menggunakan bahasa Melayu. Walaupun kenyataan ini amat berbau politik pilihan raya ekoran kedudukan BN yang terdesak dengan kemarahan rakyat, tetapi ia sebenar satu keputusan yang telah lama dicapai oleh Kementerian Pelajaran untuk menggunakan kembali bahasa Melayu. Bagi DPP Pusat, perkara ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa dasar-dasar pendidikan BN tersasar jauh daripada aspirasi rakyat.

BN terpukul teruk ekoran kenyataan berbohong Perdana Menteri di Parlimen yang menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya kepada rakyat, tetapi mengenakan ‘yuran palsu’ yang lebih tinggi daripada yuran biasa. Kemarahan rakyat telah melata sehingga Perdana Menteri terpaksa mengarahkan SRJKC Damansara dibuka semula dan mendakwa BN tidak meminggirkan pendidikan pondok walaupun rakyat tahu pemimpin BN bukan sahaja menarik balik geran perkapita untuk SAR, tetapi menghina sistem pendidikan ini sebagai sarang pengganas. Hari ini, kerana terdesak, ‘dasar sulit’ Kementerian Pelajaran untuk menggunakan semula bahasa Melayu bagi subjek sains dan matematik terpaksa didedahkan bagi menarik sokongan rakyat, khususnya pengundi Cina.

Ketika Kerajaan BN dengan penuh kedangkalan mengisyitharkan penghapusan bahasa Melayu bagi subjek sains dan matematik dengan digantikan oleh bahasa Inggeris, PAS bersama pembangkang dan NGO, termasuk ahli akademik menolak dasar sesat ini. Tetapi pemimpin BN berdegil kononnya mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris. PAS tidak menolak bahasa Inggeris, tetapi menentang pendekatan yang melemahkan pelajar, meminggirkan bahasa kebangsaan dan merugikan wang rakyat. Parlimen pernah dilaporkan bahawa sejumlah lebih RM5 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan memartabatkan bahasa penjajah ini. Dan menurut sumber Kementerian Pelajaran, menterinya mengarahkan supaya ‘pembaziran’ ini disembunyikan daripada rakyat selepas dasar baru untuk kembali berbahasa Melayu diperkenalkan secara sulit.

Apa yang jelas untuk dipertimbangkan oleh rakyat ialah pandangan dan pendirian pembangkang lebih terkehadapan dan berjiwa rakyat. Ternyata apa yang ditegaskan oleh PAS sebelum ini menepati aspirasi rakyat semua kaum. Dan ia memberikan satu gambaran bahawa PAS lebih layak memerintah dengan pendekatan berkebajikan. Pemimpin BN bukan sahaja mementingkan diri, sombong terhadap pandangan rakyat, bahkan telah membazirkan sebanyak RM5 bilion untuk satu projek perintis yang gagal. Akhirnya Perdana Menteri memperakui pandangan pembangkang lebih tepat dan pandangan BN tersesat.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

%d bloggers like this: