Peguam bertauliah bertekad bela penduduk Tioman

peguam1.jpg

TEMERLOH, 19 Feb (Hrkh) – Mohd Fadly Ramli 29, seorang peguam akan menggunakan undang-undang sebagai asas perjuanganya membela rakyat.

Menurutnya, rakyat terutama masyarakat luar bandar terdedah kepada unsur-unsur penindasan daripada pemaju. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menghadapi risiko tanpa bantuan pengamal undang-undang.

“Itu menjadi asas kepada saya untuk memperjuangkan nasib golongan ini,” katanya yang merupakan seorang peguam bertauliah.

Beliau yang mempengalaman sebagai pembantu kepada peguam Karpal Singh dalam kes Anwar Ibrahim adalah di antara calon PAS dalam pilihan raya kali ini, khusunya di Dun Tioman.

Katanya, rakyat tidak mempunyai pengetahuan mencukupi apabila berdepan dengan isu-isu pembangunan yang menghimpit mereka sebagaimana terdapat di Pulau Tioman.

Menurutnya, lawatan ke Tioman sambil mengendalikan klinik dan nasihat guaman percuma kepada penduduk mendapati, masalah utama bagi penduduk di situ ialah isu pencerobohan tanah oleh pemaju.

Penduduk mendakwa pemaju kurang menghormati hak penduduk, pembangunan yang dilaksanakan didapati mengganggu ketenteraman awam penduduk serta kemusnahan harta benda mereka.

“Akibat kurang prihatin pemaju, ada rumah penduduk yang roboh, ada penduduk yang kehilangan punca pendapatan dan sebagainya, Ini adalah di antara perkara yang menjadi isu kepada masyarakat di situ.

“Mereka pula tidak mempunyai pengetahuan untuk mempertahan hak melalui saluran perundangan,” ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman mempunyai 13,461 penduduk. Melayu 89.96 peratus, Cina 7.49 dan India 2.56 peratus.

Kebanyakan penduduk Melayu didapati di kawasan Sungai Puteri, Bandar Baru Rompin, Pontian, Endau, Pianggu dan Felda Selendeng, manakala kaum Cina di Kuala Rompin dan Bandar Baru Rompin. Kaum India di Pontian dan Felda Selendeng. – mns

%d bloggers like this: