Parlimen Rompin: Jamaluddin Jarjis dicabar berdebat 6 Mac ini

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) – Calon PAS bagi Parlimen Rompin (PO91) Mazlan Mohamed Yasin mencabar Dato’ Seri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berdebat secara terbuka 6 Mac ini bagi menjelaskan manifesto kedua-dua parti kepada rakyat.

Debat terbuka ‘Manifesto PAS vs Manifesto BN’ akan diadakan jam 9.00 malam di Bandar Muadzam Shah adalah merupakan suatu penghormatan untuk rakyat menilai manifesto tersebut seterusnya membuat pilihan tepat dalam pilihan raya Sabtu ini.

“Debat terbuka adalah lambang berani kerana benar dan takut kerana salah,” kata Mazlan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Rompin.

Beliau yang mengejutkan suasana pilihan raya baru-baru ini dengan pendedahan beraninya berhubung tawaran pihak-pihak tertentu dalam Barisan Nasional (BN) yang cuba mengumpan RM200 ribu untuk beliau menarik diri daripada bertanding.

“Saya tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan dan maruah semata-mata dengan tawaran wang tersebut dan sungguh memalukan BN terpaksa menggunakan taktik tidak beretika ini seolah-olah mereka begitu goyah dengan pengaruh PAS yang telah memberi kesan kepada rakyat,”jelasnya sebelum ini kepada Harakahdaily.

“Atas segala insiden yang berlaku, saya mengajak Jamaluddin berdebat secara terbuka pada 6 Mac nanti supaya rakyat boleh menilai tawaran kedua-dua pihak di samping saya dan beliau boleh menjawab segala tuduhan dan dakwaan,” katanya. – mks. Cetak

 

%d bloggers like this: