Lima negeri BA bergabung bentuk koridor ekonomi baru


KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mencadangkan agar lima buah negeri yang dikuasai Barisan Alternatif (BA) sekarang bergabung membentuk koridor ekonomi di negara ini.

Cadangan ini dibuat oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini Selasa lepas.

Negeri-negeri itu adalah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

“Kalau perlu kita boleh buat rel keretapi laju atau lebuhraya antara Pulau Pinang dan Kelantan merentasi Kedah dan Perak,” kata Husam.

Ketika ditanya media, apakah ia boleh dilaksanakan, Husam berkata, ia boleh dilakukan dengan kerjasama para pelabur dan lima kerajaan negeri yang terlibat.

“Kita kena explore segala peluang yang ada untuk kepentingan rakyat,” kata Husam.

Menurutnya, menguasai lima negeri tersebut bukan perkara kecil.

“Kita kena bayangkan apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara. Lima negeri akan mendesak pengerusi agar membuat reform dalam pembangunan kewangan.

“Begitu juga dalam mesyuarat Majlis Raja-raja. Lima sultan dan MB dari negeri-negeri ini akan terlibat secara langsung dalam mesyuarat itu. Bolehlah kita bayangkan apa yang berlaku?” kata Husam.

Oleh itu, katanya, apabila lima negeri bergabung, kelima-limanya bakal menghasilkan persaingan dengan negeri-negeri di bawah BN dan kesatuan di kalangan negeri-negeri BA ini.

%d bloggers like this: