Untuk renungan bersama!!!

Asalammualaikum. …

Keberkatan Hari Jumaat
Hadith :
Nabi s.a w bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua Malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu disebelah kanannya dan yang satu lagi disebelah kirinya); kemudian apabila orang itu mati….maka Tuhan perintahkan kedua Malaikat itu dengan firman-Nya: “Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari qiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu.” Dan pada satu Athar, ada disebutkan bahawa kedua Malaikat itu melaknat si mati hingga ke hari Kiamat – jika ia seoarang kafir.

Anas r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Meskipun Allah S.W.T telah menugaskan malaikat-malaikat untuk menulis surat amal manusia namun ia bukanlah menafikan sifat Allah yang Maha Mengetahui segala yang lahir dan yang tersembunyi melainkan tujuannya adalah untuk melahirkan kebesaran kerajaan-Nya dan keadilan pemerintah-Nya.
ii) Gunanya surat (daftar) amal seseorang manusia itu adalah supaya ia dapat dilihat dan dibaca oleh orang itu sendiri pada hari kiamat kelak.
iii) Sesungguhnya malaikat ini tidak akan berpisah meskipun seseorang itu telah meninggal dunia, mereka diperintahkan Allah supaya tinggal tetap bersama seseorang itu di kubur, bertasbih, bertahmid dan berzikir hingga hari kiamat di mana pahala amal mereka akan ditulis dalam surat amal si mati itu.
iv) Hal ini dikecualikan bagi orang-orang kafir di mana para malaikat melaknat mereka hingga ke hari kiamat.

Jumaat penghulu Segala Hari
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. ”

(al-Bukhari)
Huraian
1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.
2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.
3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.
4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.


Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tak guna ada hati kalau tak tahu menilai….. ..

%d bloggers like this: