Teks penuh ucapan Ahli Parlimen Rembau 12 Mei 2008

Oleh Webmaster
Selasa, 13 Mei 2008
TUAN Yang Dipertua,

Saya tampil untuk turut serta membahas usul menjujung kasih ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di atas titah Tuanku di Dewan yang mulia ini.

Izinkan saya bermula dengan merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati rakyat Rembau kepada rakyat negara Myanmar atas malapetaka taufan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di negara jiran kita itu. Saya harap bantuan dari masyarakat antarabangsa akan sampai terus kepada rakyat Myanmar tanpa sekatan untuk mengelak krisis yang lebih besar berlaku.

Tuan Yang Dipertua,

Inisiatif Kerajaan untuk menilai semula serta mengambil langkah-langkah untuk memperkasakan beberapa institusi pemerintahan dan pentadbiran adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengukuhkan lagi lunas-lunas demokrasi, ketelusan, accountability dan integriti dalam sistem politik negara. Iltizam politik yang ditunjukkan oleh Kerajaan untuk membawa perubahan yang dituntut oleh rakyat adalah bukti komitmen Barisan Nasional kepada prinsip-prinsip tersebut secara hakiki dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Mendahului senarai, cadangan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah dan penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim disambut baik oleh rakyat di Rembau kerana mereka, seperti juga rakyat Malaysia yang lain, ingin melihat gejala rasuah dibasmi secara menyeluruh dan memastikan setiap rakyat mendapat hak dan diberikan keadilan yang mutlak di mahkamah.

Rakyat umum menyifatkan langkah penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim sebagai satu cadangan yang amat berani dalam mengembalikan maruah, martabat dan kebebasan institusi kehakiman yang dianggap tercemar dan tercalar kredibilitnya sejak berlaku krisis kehakiman pada tahun 1988. Suruhanjaya ini, yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri, harus memastikan bahawa proses penilaian dan penapisan perlantikan dan juga kenaikan pangkat hakim dijalankan dengan telus dan beramanah, tanpa adanya sebarang usaha untuk mempengaruhi mana-mana pihak yang terlibat. Dengan cara ini, rakyat akan lebih yakin bahawa hanya individu yang terbaik dari segi ilmu undang-undang dan integriti akan menganggotai badan kehakiman negara.

Namun begitu, saya percaya penubuhan Suruhanjaya ini tidak menghakis prerogative Perdana Menteri. Selaras dengan contoh daripada negara-negara lain, cabang eksekutif Kerajaan perlu mempunyai hak budi bicara untuk menimbang cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya tersebut. Pada masa yang sama, Suruhanjaya ini sama sekali tidak akan menghakis kedaulatan Institusi Raja, kerana nama-nama calon hakim baru dan mereka yang dinaikkan pangkat tetap memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Harapan yang menggunung juga diletakkan oleh rakyat agar komposisi keanggotaan Suruhanjaya ini merangkumi mereka yang arif dan dalam ilmunya, berpengalaman dan berintegriti tinggi seperti bekas hakim-hakim, cendekiawan undang-undang dan wakil dari profesion guaman, selain Ketua Hakim dan hakim-hakim kanan yang masih berkhidmat.

Tuan Yang DiPertua,

Penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah dengan menjadikannya sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan penggubalan akta perlindungan bagi whistleblowers juga merupakan langkah-langkah yang berani dalam menunaikan janji kepada rakyat. Saya ingin mencadangkan supaya Suruhanjaya ini diberi lebih kuasa, terutamanya kuasa pendakwaan. Perlaksanaan cadangan ini akan memberi pengkhususan kepada Suruhanjaya tersebut dalam pendakwaan kes-kes rasuah dan boleh meringankan beban Kamar Peguam Negara yang berdepan dengan banyak kes-kes tertangguh.

Pada masa yang sama, saya juga berharap agar Kerajaan akan meneruskan usahanya untuk mencegah rasuah dengan penggunaan teknologi moden. Teknologi sebegini akan dapat memastikan bahawa wang rakyat yang dibelanjakan memperoleh nilai yang terbaik. Contohnya, Kerajaan boleh menggunakan teknologi maklumat untuk mengurangkan kos perolehan dan menyalurkan penjimatan tersebut kepada projek-projek pembangunan. Sistem yang dikenali sebagai e-perolehan atau e-procurement mampu menjamin harga barang yang dijual kepada Kerajaan adalah pada harga yang berpatutan. Sistem ini telah berjaya mengurangkan kos di syarikat-syarikat gergasi dunia sehingga 25%.

Satu lagi contoh yang saya ingin utarakan ialah perlaksanaan sistem track and trace dalam Kerajaan. Sistem track and trace yang lazimnya digunakan oleh perkhidmatan pos, membolehkan pengguna menyemak status fail mereka, nombor telefon dan alamat e-mel pegawai yang sedang memproses fail tersebut. Melalui perlaksanaan sistem ini, rakyat akan menjimatkan banyak masa kerana status permohonan mereka boleh didapati secara real time. Saya juga mencadangkan agar tempoh masa atau deadline juga dapat diberikan untuk permohonan-permohonan tertentu agar rakyat yang berurusan dengan Kerajaan tahu bila kes mereka akan dapat diselesaikan. Ini akan meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah, apabila permohonan daripada rakyat tersenggut-senggut pergerakannya atau langsung tidak bergerak lantaran kerana tiada pelincir.

Tuan Yang Dipertua,

Media massa yang terbuka, bertanggunggjawab dan berkredibiliti merupakan tunggak penting sistem pemerintahan yang demokratik. Oleh itu, satu langkah bersepadu hendaklah diambil untuk memperkukuhkan media massa tempatan, tidak kira sama ada media cetak, elektronik atau Internet agar kredibiliti semua jenis media akan dapat ditingkatkan lagi.

Kerajaan telah membuktikan keprihatinannya dengan memberikan ruang untuk media massa menyuarakan pendapat mereka tentang pelbagai isu semasa. Sudah tiba masanya bagi ruang ini diperkukuhkan lagi secara formal dengan satu reformasi menyeluruh, yang boleh menjamin media yang terbuka dan bertanggungjawab. Menyedari akan hakikat bahawa isu-isu berhubung kaum dan agama adalah sensitif, perubahan ini perlulah dijana dengan halus dan teliti, dengan objektif yang nyata, iaitu menjadikan media satu institusi yang berkredibiliti tinggi dan berwibawa.

Saya menyambut baik cadangan YB Menteri Dalam Negeri untuk mengkaji semula keperluan untuk memperbaharui lesen tahunan bagi media cetak, yang secara tidak langsung akan menghapuskan sekatan birokratik yang mengekang kebebasan mereka. Pada masa yang sama, para wartawan baru, termasuklah wartawan blog dan laman berita Internet, perlu juga membina keupayaan mereka dengan menjalani latihan profesional sepertimana yang dilakukan oleh wartawan baru media arus perdana. Ini akan mendedahkan mereka kepada perkara-perkara asas kewartawanan, seperti kewartawanan yang beretika, dan undang-undang mengenai penyebaran fitnah dan berita palsu, bagi melahirkan wartawan yang bertanggungjawab.

Apabila industri media mempunyai keupayaan yang lebih tinggi dari aspek profesionalisme yang turut melambangkan sikap bertanggungjawab, maka peranan penyeliaan media itu boleh diserahkan oleh Kerajaan kepada badan yang bebas. Model Suruhanjaya Aduan Media yang wujud di beberapa negara, boleh memastikan laporan yang adil dan beretika dan mencegah sebarang berita yang menghasut, menghina atau menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Jika mekanisma ini boleh diwujudkan dan penyeliaan media boleh dibuat secara bebas tanpa menggugat keharmonian dan keselamatan awam, dan jika industri media serius untuk membina keupayaan dan kemahiran mereka demi kewartawanan yang beretika, adil dan bertanggungjawab, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dimansuhkan.

Tuan Yang Dipertua,

Saya percaya semua pihak bersetuju bahawa matlamat Kerajaan dalam memberikan subsidi adalah untuk mengurangkan beban rakyat yang kurang berkemampuan serta memangkin pertumbuhan sektor strategik negara. Kerajaan membayar pelbagai subsidi dengan jumlah yang amat besar, di mana untuk tahun 2007 sahaja ia telah menjangkau lebih RM33 bilion.

Sememangnya peruntukan subsidi adalah lebih wajar dimanfaatkan untuk sektor strategik dan golongan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, sektor pertanian di mana-mana negara mendapat subsidi yang tinggi kerana dianggap sektor yang penting. Di Malaysia, subsidi untuk sektor pertanian, walaupun menelan belanja yang besar, wajar diteruskan memandangkan dasar keselamatan makanan atau food security menjadi antara keutamaan Kerajaan.

Tetapi pada masa yang sama, sistem subsidi negara perlu dikaji semula dan dirombak kerana matlamat mungkin tidak menepati sasaran. Sebagai contoh, subsidi untuk petrol diberi kepada semua tanpa mengira kemampuan. Siapa sahaja yang mengisi petrol di Malaysia dengan apa jua jenis kenderaan mendapat kadar subsidi yang sama. Sistem ini tidak selaras dengan keadilan ekonomi atau economic justice di mana bantuan sepatutnya diberi kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Adalah sesuatu yang amat tidak adil jika rakyat yang membawa kereta yang mahal dan berkuasa tinggi mendapat kadar subsidi yang sama dengan mereka yang membawa kenderaan yang lebih sederhana. Malah sebenarnya, pemilik kereta besar mendapat subsidi yang lebih, kerana keperluan petrol mereka pastinya jauh lebih tinggi daripada mereka yang memiliki kenderaan berkuasa rendah dan sederhana; yakni sasaran sebenar sistem subsidi.

Ketidakadilan ini perlu diperbetulkan segera. Salah satu cara, yang pastinya memerlukan penelitian dari segi perlaksanaannya, adalah untuk memperkenalkan sistem kuota bagi setiap pemilik kenderaan menikmati petrol bersubsidi sepenuhnya tiap-tiap bulan. Pengguna yang melebihi kuota tersebut akan membayar harga yang lebih tinggi mengikut kadar progresif yang ditetapkan. Pemilik kereta dan motosikal berkuasa rendah juga boleh diberi kuota yang lebih atas falsafah bantuan secara progresif – yang tidak mampu dibantu lebih daripada yang mampu. Perubahan ini boleh membawa penjimatan besar kepada Kerajaan yang boleh diguna untuk pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar terutamanya di Sarawak dan Sabah.

Kerajaan juga perlu segerakan pembangunan enjin hybrid yang menjimatkan pengunaan petrol melalui program pembangunan enjin Campro dibawah Petronas. Sementara itu, kerajaan perlu kaji perlepasan penuh duti import dan eksais bagi kereta asing berkuasa hybrid tersebut kerana lebih jimat petrol dan mesra alam sekitar.

Tuan Yang Dipertua,

Isu harga minyak bukan hanya merupakan isu ekonomi tetapi turut dibahaskan dari sudut politik. Sentimen rakyat mudah sekali dibakar dengan janji manis dan sejarah yang diputarbelit. Semasa pilihanraya umum, pembangkang telah memancing undi dengan janji untuk menurunkan harga minyak. Penasihat PKR dengan bangganya mengingatkan rakyat semasa beliau menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun, tak pernah ada peningkatan harga petrol. Pandailah konon. Memang dasar lidah bercabang. Dia lupa nak bagi tahu, semasa beliau menjadi Menteri Kewangan, harga minyak mentah di pasaran dunia hanya diantara AS$12 dan AS$26 setong. Hari ini harga pasaran dunia sudah melepasi AS$120 setong. Apa yang susah sangat pada zaman beliau? Harga minyak dunia amat rendah.

Janganlah nak mendabik dada walhal sebenarnya menipu rakyat. Bagi saya, pencapaian Kerajaan yang berjaya mengekalkan harga petrol pada tahap di antara yang paling rendah di ASEAN dalam keadaan harga pasaran dunia yang tidak pernah terjangka ini, merupakan pencapaian yang jauh lebih membanggakan daripada apa yang Penasihat PKR mampu buat semasa harga minyak dunia begitu rendah – itu belum cerita lagi tentang kegagalan beliau untuk menangani krisis kewangan 1997 – an absolute failure, dengan izin.

Sebagai seorang ahli Dewan yang datang daripada generasi muda, saya juga ingin menyentuh tentang kedudukan rizab minyak negara yang dikatakan akan habis dalam 10 tahun, dan dalam masa dua tahun lagi Malaysia akan menjadi net importer of oil. Bercakap tentang hal ini, saya masih tidak faham dengan cadangan Pembangkang untuk mengguna sebahagian daripada keuntungan Petronas untuk menurunkan harga minyak. Mengikut penyata kewangan Petronas pada tahun 2007, Kerajaan mendapat RM48.3 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti daripadanya. Jumlah ini merupakan 66.2% dari keuntungan kasar Petronas. Wang ini masuk terus sebagai bajet pembangunan Kerajaan yang membiayai pelbagai projek pembangunan. Baki daripada keuntungan tersebut antaranya diguna untuk operasi carigali di negara-negara asing untuk mendapatkan rizab baru.

Adakah salah bagi Petronas untuk menjaga masa depan negara dengan memastikan bahawa apabila rizab tempatan sudah habis, apabila telah kering telaga minyak Negara, kita sekurang-kurangnya masih boleh berkongsi sedikit manfaat dari rizab asing yang digali oleh Petronas? Takkan kita begitu dangkal dan cetek pemikiran, tidak langsung memikir dan menghiraukan legasi kita kepada generasi akan datang? Saya rasa demi ketelusan, untuk membuktikan bahawa Kerajaan dan Petronas tidak menyembunyikan apa-apa daripada rakyat, satu taklimat khas perlu diadakan di Parlimen dimana penyata kewangan lengkap dibentangkan agar kedudukan kewangan serta saluran keuntungan Petronas dapat difahami dengan jelas oleh semua wakil rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

Kenaikan harga minyak dan harga makanan di seluruh dunia sememangnya membimbangkan. Rakyat Rembau juga resah mendengar berita yang tersebar luas berhubung krisis ini. Di Mesir, dua orang terbunuh kerana berebut sekeping roti. Rusuhan yang berpunca daripada makanan terjadi di banyak negara seperti Burkina Faso dan Cameroon. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kuwait Finance House, harga makanan sedunia telah meningkat sebanyak 83 peratus dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Malaysia amat bertuah kerana walaupun krisis makanan melanda seluruh dunia, rakyat kita masih mampu untuk membeli barangan makanan, walaupun mungkin tidak semewah dahulu. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan kerana begitu berpandangan jauh, dengan usaha untuk memodenkan sektor pertanian beberapa tahun yang lepas, sebelum krisis makanan ini terjadi. Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan dasar beteraskan pertanian ini terbukti keberkesanannya. Merujuk kepada laporan Bank Dunia, World Development Report 2008: Agriculture for Development, pakar-pakar ekonomi sedunia mengakui pertanian sebagai satu kaedah penting dalam membasmi kemisikinan dan menyediakan pembangunan yang mapan.

Namun begitu, rakyat mahukan kepastian dari Kerajaan sama ada negara kita bersedia untuk menghadapi kemelut yang belum pernah dihadapi ini. Pada saat dan ketika ini, tahap sara diri komoditi makanan masih belum berada pada keadaan yang memuaskan. Sebagai contoh, mengikut data 2007, peratusan sara diri beras hanya pada kadar 72%, sayur-sayuran 89%, daging lembu 25% dan daging kambing 9%. Ini bermakna Kerajaan masih lagi perlu bergantung kepada import barangan makanan dari luar untuk menampung keperluan makanan negara. Hanya daging ayam dan daging khinzir yang melepasi kadar 100% tahap sara diri. Itu pun tak cukup bagi satu Kerajaan Negeri yang telah meletakkan keutamaan nombor satu pentadbirannya kelulusan Projek Khinzir Raksasa atau singkatannya PKR.

Dalam memerangi krisis makanan ini, langkah Kerajaan untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk membuka kawasan-kawasan penanaman padi baru amat dialu-alukan. Namun, pembukaan kawasan-kawasan baru ini perlu juga disusuli dengan peningkatan hasil. Kadar purata hasil padi negara berada pada tahap 3.5 tan sehektar. Namun, tanah Malaysia yang subur ini terbukti mampu menghasilkan purata pengeluaran yang jauh lebih tinggi seperti 6 hingga 7 tan sehektar di MADA, manakala di Sekinchan 10 hingga 11 tan sehektar. Jika kita dapat meningkatkan purata pengeluaran sebanyak 20 hingga 30% dengan menggunakan tanah yang sedia ada, kita tidak akan menghadapi masalah kekurangan beras.

Mungkin punca perbezaan ketara ini ialah aspek pengurusan pertanian yang kurang efisyen. Sebagai contoh, penggunaan teknologi seperti transplanting machine yang dapat membantu petani untuk mengadakan satu sistem yang lebih teratur perlu diperbanyakkan. Dengan adanya sistem seperti ini, petani tidak lagi berhadapan dengan masalah penaburan benih yang tidak serata, masalah lalang dan sebagainya.

Tuan Yang Dipertua,

Telah terlalu banyak kali disebut tentang kononnya berlaku tsunami politik pada 8 Mac lalu. Istilah tersebut seolah-olah sudah menjadi perkataan ruji ahli-ahli Pembangkang. Mereka tuduh kononnya pemimpin BN sombong dan elit. BN diminta untuk mecerminkan diri. Akan tetapi, baru dua bulan bergelar Yang Berhormat, siapa yang riak dan takbur nadanya dalam Dewan yang mulia ini? Siapa yang begitu angkuh, hingga akal tak cecah ke langit, kaki tak jejak ke bumi, dalam meramal dan mewar-warkan bahawa mereka akan berkuasa di Putrajaya dalam tempoh tak beberapa bulan lagi? Siapa sebenarnya kini ingin membelakangkan prinsip demokrasi dengan menawarkan ahli BN untuk melompat parti, dengan membentuk Kerajaan melalui pintu belakang? Siapa sebenarnya yang tidak berani melihat wajah sendiri?

Mereka tidak berani kerana apabila dicermin, refleksi yang jelas terlihat adalah satu pakatan kononnya, tetapi dengan persefahaman yang begitu rapuh dan tidak kukuh. Pakatan yang dibuat ternyata begitu lemah, umpama retak menanti belah. Saling meragui sama sendiri, khuatir ditikam sama sendiri. Sebab itu saya istilahkan Pakatan Rakyat ini sebagai Pakatan Public Relations atau PR. Penggabungan pembangkang ini hanya PR. PAS dengan DAP hanya PR. Supaya di mata rakyat nampak cantik, nampak menarik, nampak kukuh. Tapi yang sebenar-benarnya, yang tersirat di dalamnya, dalam perkara asas atau fundamental, jelas tiada persefahaman.

Saya sebenarnya rasa amat sedih dan hairan apabila soalan saya tentang kontrak sosial kepada ahli dari Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS tidak dijawab. Oleh itu, saya rasa adalah tidak salah sekiranya satu kesimpulan di tawarkan diatas keengganan PAS ini – bahawa PAS yang sering menampilkan dirinya sebagai parti Islam yang gagah, nampaknya sudah kehilangan taring, umpama singa tidak bergigi, takut dengan dalang yang diajak bersekongkol. Soalan saya sama ada PAS setuju dengan kenyataan ahli dari Ipoh Timor yang meminta kontrak sosial dikaji semula dan menidakkan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, Islam dan bukan Islam, dibiar tidak bersahut, hanya berlalu ditiup angin. Umpama bercakap dengan dinding. Sepi ini jugalah suasananya apabila ahli dari Bukit Gelugor menghina institusi Raja Melayu di Dewan yang mulia ini.

Kalau setuju katakan setuju, kalau tidak, jawab sahaja tidak. Tetapi pemimpin jenis apakah ini, yang dalam perkara asas negara sebegini, beliau membisu seribu bahasa sebaliknya mencari helah untuk tidak bersuara? Kalau sampai soal kontrak sosial pun PAS sudah takut nak jawab, apa gunanya dengan PR kalau bukan sekadar untuk Public Relations? Kami di sebelah sini pun tidak sempurna, ada kelemahannya. Yalah, siapa yang tidak ada kelemahan. Namun, selagi Barisan Nasional memegang Kerajaan Persekutuan, kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan, yang menjadi asas kepada Tanahair kita, akan kita pertahankan tanpa segan silu, tanpa galang gantinya, walau perlu berkalang leher. Bila saya tanya tentang keseragaman dasar tender terbuka dan penghapusan DEB, Ipoh Timor tak jawab. Sebaliknya dia serang peribadi saya. Kenapa? Tak faham atau tak erti nak jawab soalan. Atau sekadar menggunakan taktik diversion untuk mengelak dari menghadapi isu sebenar yang cuba saya bangkitkan? Kenapa PR tak boleh bagi komitmen untuk menghapuskan DEB di semua Negeri pentadbirannya agar lebih seragam dan konsisten?

Itu baru kontrak sosial, belum masuk lagi satu perjuangan asas PAS, iaitu isu Negara Islam. PAS bila sudah menjadi rakan kongsi kecil atau junior partner dalam PR, perjuangan Negara Islam pun dah tak boleh sebut langsung. Takut dengan DAP, takut kena langkah mayat dulu. Takut nak tegur Bukit Gelugor yang mempertikaikan kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam dalam kes Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Ini semua adalah soalan pokok yang mesti dijelaskan sekiranya PR bukannya sekadar Public Relations.

Dah namanya pakatan. Semua perkara kenalah sepakat. Lagi pula sekarang ini kononnya dah jadi Kerajaan menunggu atau government-in-waiting tapi perkara asas seperti ini pun tak boleh jawab. Apa akan jadi kepada Malaysia dibawah sebuah Kerajaan yang bukan tahu memerintah, tetapi sebaliknya mencipta polisi untuk ber-PR sahaja?

Negara berlandaskan PR akan berpecah mengikut citarasa masing-masing. Kalau macam tu tak ubahlah macam di zaman penjajah, mengamalkan sistem pecah dan perintah. Ikut suka dan cara masing-masing. Negara Islam di Kelantan dan Kedah; Malaysian Malaysia di Penang; kerajaan boneka di Perak dan projek babi di Selangor. Walaupun tidur satu katil, satu tilam, satu bantal tapi mimpi lain-lain. Ada yang mimpi flying carpets dengan serban, ada yang mimpi flying rockets dan ada yang mimpi flying pigs.

Perkara ini saya sebut kerana kita diberitahu bahawa PR akan mewujudkan Kerajaan Persekutuan sebelum 16hb September, 2008. Rakyat di Rembau nak tahu bagaimana rupa bentuk dan apa pendirian Kerajaan PR nanti. Sekarang ini terlalu banyak percanggahan, terlalu banyak perkara yang tidak konsisten. Pembangkang menunding jari kepada Kerajaan, tuduh Kerajaan BN tidak menunaikan janji. Tapi kerajaan campuran negeri Selangor baru dua bulan memerintah pun dah mula menujukkan ketidakmampuan untuk memenuhi apa yang telah dijanjikan. Kalau benar mereka telus dan adil, kenapa rayuan rakyat menolak projek babi tidak didengar? Dalam manifesto bukan main manis janji, kononnya nak turunkan cukai pintu. Hari ini bila dah ada kuasa, bila tanggungjawab dah terbeban di bahu, tak boleh buat pula. Macam-macam alasan diberi. Kalau pandai sangat, kononnya Menteri Besarnya seorang tokoh yang berpengalaman luas, yang pernah mengetuai dawn raid atas syarikat Guthrie, kenapa susah sangat nak menunaikan janji? Adakah kerana janji-janji itu semua sekadar janji pilihanraya pembangkang, yang dibuat tak guna akal, tidak realistik, populis, pakai hentam sahaja?

Pembangkang juga suka mendabik dada mengatakan mereka lebih baik dari Kerajaan, lebih adil dari Barisan Nasional. Mereka menuduh Kerajaan Persekutuan kononnya tidak memberi peruntukan kepada kawasan dan negeri di bawah PR. Lalu saya tanya Batu Gajah, kalau betul PR lebih baik daripada BN, maka tunjukkanlah teladan yang baik, bagi peruntukan kepada semua wakil rakyat tak kira parti di negeri-negeri PR. Tapi jawapan yang diberi tidak ada asas, tersasar dari landasan. Pada sesi taklimat Ahli Parlimen sebulan yang lepas, ada wakil pembangkang minta Kerajaan Persekutuan bagi peruntukan kepada semua ahli atas dasar keadilan. Semua wakil pembangkang tepuk. Tapi tak sampai beberapa minggu selepas itu, kerajaan campuran negeri Selangor mengumumkan peruntukan RM500,000 hanya untuk ADUN PR. Adil ke itu? Cakap tak serupa bikin. Ini baru dua bulan memerintah, dah pandai tipu dan memutar belit. Kalau Kuala Krai kata power corrupts and absolute power corrupts absolutely, tindakan PR ini membuktikan bahawa even a little power corrupts very quickly.

Tuan Yang Dipertua,

Rembau pohon menyokong

%d bloggers like this: