Pembeli rumah fail saman

KUALA ROMPIN – Seramai 12 pembeli rumah di kawasan Perumahan Rompin Permai bertindak memfailkan saman terhadap Pasdec Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Pasdec Holding Berhad yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang, di sini, semalam.

Plaintif yang diwakili firma Tetuan M.k Othman & Co melalui peguam mereka, Mohd Fadzli Mohd Ramly memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret Rompin, kira-kira jam 4.10 petang.

Tuntutan saman itu dibuat selepas Pasdec Corporation gagal memenuhi syarat perjanjian apabila gagal menyerahkan rumah terbabit kepada pembeli mengikut cara yang dinyatakan dalam Fasal 24 dalam tempoh dua puluh empat (24) bulan iaitu pada 25 Februari 2005.

Tuntutan saman itu juga menyatakan penjual turut bertanggungan kepada pembeli, ganti rugi jumlah tertentu yang dikira dari hari ke hari dengan kadar sepuluh peratus (10 peratus) daripada harga beli, bermula dari tarikh luput penyerahan pemilikan kosong dalam Subfasal (1) hingga tarikh pembeli mengambil pemilikan kosong bangunan tersebut.

Dalam saman itu, plaintif mendakwa defenden bertanggungjawab menyerahkan kepada plaintif-plaintif pemilikan kosong hartanah tersebut berserta dengan bekalan air dan elekterik yang siap sedia disambung ke hartanah tersebut dalam masa 24 bulan dari tarikh perjanjian iaitu pada atau sebelum 24 Februari 2007.

Plaintif menegaskan bahawa defenden telah gagal mematuhi Seksyen 23 (1) perjanjian tersebut dan terdapat kelewatan selama 447 hari bagi penyerahan milikan kosong hartanah tersebut kepada plaintif.

Mohd Fadzli ketika ditemui berkata, tuntutan saman itu merupakan hak pembeli perumahan yang mutlak dan berharap pihak kerajaan negeri campur tangan bagi menjaga prestasi syarikat milik kerajaan negeri.

“Plaintif berharap supaya kerajaan ambil serius mengenai permasalah yang dialami pembeli dan menjaga kepentingan mereka, di samping menjaga prestasi dan nama baik syarikat milik kerajaan,” katanya.

Kes tuntutan saman itu akan disebut semula di Mahkamah Majistret Rompin pada 12 Jun ini.

SUMBER

%d bloggers like this: