ISTIQAMAH SATU TUNTUTAN

Istiqamah adalah satu ungkapan yang sering didengari dan sangat mudah dilafazkan.Satu kalimah yang dibincangkan oleh para ulama’ samada dalam perkara aqidah, ibadah, akhlak mahupun perjuangan atau jihad.Islam amat menitik beratkan soal istiqamah sehingga ianya menjadi kemuncak kepada segala apa yang dilakukan oleh seseorang.

Orang yang tidak istiqamah dalam aqidahnya boleh menyebabkan terkeluar dari Islam.Orang yang tidak istiqamah dalam ibadah menjadikan dia tidak berdisiplin dalam melaksanakan ibadah sehingga ke peringkat meninggalkan terus ibadah yang pernah dilakukan samada yang wajib atau yang sunat.Orang yang tidak istiqamah dalam berakhlak dengan akhlak yang baik pula akan rosak peribadi dan moralnya.Begitu juga orang yang tidak istiqamah dalam perjuangan menyebabkan dia meninggalkan apa yang pernah disumbangkan walaupun masih berpeluang dan mampu melakukannya.Apa yang lebih malang apabila dia meninggalkan terus perjuangan yang didokongi, lalu tergolong dalam golongan orang tercicir di jalan dakwah, walaupun pernah disanjung kerana kebolehannya atau kerana sumbangan besar yang pernah dibuat !

Dalam agama atau kepercayaan lain pun seseorang yang tidak istiqamah dianggap sebagai seorang yang tidak ada pendirian atau prinsip.Dianggap orang yang tidak boleh dipegang kepada ucapannya dan tidak boleh dijadikan contoh tauladan peribadi dan tingkah lakunya.

Apabila Rasulullah SAW di tanya oleh seorang sahabat tentang satu soalan yang beliau berkehendakkan satu jawapan yang ringkas dan padat sehingga tidak perlu lagi dia bertanya kepada orang lain, baginda menegaskan “Katakanlah ;Aku beriman kepada Allah kemudian istiqamahlah (di atas kalimah yang diucapkan itu)”

Di dalam Al Quran Al Karim, Allah SWT memerintahkan nabi dan orang-orang yang beriman supaya istiqamah.Firman Allah yang bermaksud ;

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian ; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah ; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan”. –Hud : 112

Allah SWT juga memaparkan beberapa nama yang menjadi contoh mereka yang tidak istiqamah dan nasib atau kesudahan yang mereka terima.Iblis pada asalnya makhluk yang taat beribadat, akhirnya menjadi makhluk yang sangat terkutuk dan dilaknat.Qarun adalah bekas pengikut setia nabi Musa a.s. yang menghafal kitab Taurat, akhirnya bersekongkol dengan Firaun menentang nabi Musa a.s. lalu dibinasakan oleh Allah bersama-sama dengan kekayaannya.

Justeru itu, dalam kamus perjuangan Islam tidak terdapat istilah ‘bersara’ kerana waktu rehat kepada seorang pejuang Islam ialah ketika rohnya terpisah daripada jasad.Sebagaimana diungkapkan oleh Ibnu Abbas r.a. ; “Tiada kerehatan bagi orang beriman melainkan setelah bertemu dengan Allah”.

Lihatlah bagaimana pendirian Al Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz mempertahankan jawatan menteri besar dalam keadaan pelbagai keuzuran, walaupun beliau boleh memberi alasan sudah lama berkecimpung dalam politik atau sudah lama memegang jawatan.Ini adalah kerana beliau melihat ini adalah merupakan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan syariat dan hukum Allah dalam ruang lingkup yang dapat dilakukan.

Firman Allah ; “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat ;dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka diri sendiri) ;dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya”.

“Wahai Tuhan yang berkuasa membolak balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami dalam agamaMu dan dalam mentaati perintahMu”…

Oleh : KP Rompin

%d bloggers like this: