Apakah aspek keselamatan di Malaysia terjamin?

Keselamatan, keamanan dan keharmonian hidup adalah menjadi idaman warga manusia di dunia tanpa mengira asal usul keturunan, derajat kedudukan, pangkat, umur, jantina, kerana ia adalah sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada semua termasuk hamba-hambanya yang bukan Islam.

Sesungguhnya Allah tidak membiarkan manusia hidup dalam keadaan tertekan, dihimpit dengan pelbagai masalah, justeru Dia mengutus para Rasul ke dunia ini adalah untuk membawa manusia sejagat menikmati keselamatan dan keamanan dengan Islam, kerana Islam membawa maksud keselamatan.

Begitu juga ketegasan baginda Rasulullah s.a.w ketika mengutus para utusan ke beberapa buah negara pada awal siri dakwah Islam terhadap Raja Mesir, Kaisar, Raja Parsi dan lain-lain dengan kata-kata: Aslim taslam iaitu apabila kamu masuk Islam pasti selamat.

Sehubungan itu, Allah ada menegaskan menerusi ayat 96-99 surah al-Araf yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk (sesebuah) negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.(96)

“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97)

“Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98)

“Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.”(99)

Ayat di atas cukup jelas menunjukkan bahawa Allah boleh mendatangkan apa sahaja masalah kepada manusia hingga hilangnya rasa aman dalam diri, sama ada sedang tidur di waktu malam, atau sedang mengurus program hidup di waktu siang hari.

Namun bagi orang yang sentiasa berhubung dengan-Nya sepanjang masa dengan melakukan solat serta amal-amal solih, pasti mampu mengecapi keamanan dan keselamatan, tetapi sebaliknya apabila manusia meninggalkan suruhan-Nya, pasti akan menanggung akibat daripada keengganannya untuk berbuat demikian.

Fenomena jenayah kikis rasa selamat di kalangan rakyat

Sejak akhir-akhir ini, kecenderung sesetengah pihak untuk terlibat melakukan jenayah amat membimbangkan banyak pihak, kerana ia menyebabkan ketidaktenangan di kalangan manusia yang sentiasa mahukan hidup mereka dibayangi dengan keselamatan dan keamanan mutlak.

Isu penculikan di kalangan budak perempuan semakin menjadi-jadi, ia digemparkan dengan kehilangan adik Nurin Jazlin pada 2007 yang akhirnya disahkan mati, diikuti dengan kehilangan adik Syarlinie Mohd Nashar pada Januari 2008 yang masih menjadi tanda tanya banyak pihak yang masih belum dirungkai.

Kejadian kehilangan seumpama itu tidak terhenti setakat kehilangan kedua-dua adik berkenaan, akan muncul selepas ini beberapa kejadian lain yang kesemuanya memperlihatkan kegagalan pihak berkuasa untuk membendung jenayah yang menyebabkan orang ramai semakin gusar tidak keharuan.

Pemilik-pemilik restoran seperti dilaporkan akhbar arus perdana mati ditetak di hadapan premis sendiri, kejadian rogol di kalangan murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah berlaku pada tahap yang amat membimbangkan golongan para ibu bapa, khususnya anak-anak perempuan mereka yang akan duduk dalam peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain, juga di peringkat institut pengajian tinggi.

Semua kejadian di atas menyaksikan betapa rapuhnya keselamatan dalam negara ini, ia merupakan satu nikmat yang seakan mula ditarik dari diri manusia, apabila keselamatan tidak lagi terjamin, berbagai-bagai kemungkinan akan berlaku di kalangan manusia hingga terdapat anak gadis lari daripada rumah meninggalkan kedua-dua ibu dan bapa akibat ditipu tunang yang enggan meneruskan hasrat untuk berumahtangga.

Jika tahap keselamatan tidak lagi menjadi agenda penting dalam kehidupan bermasyarakat, apakah kedudukan golongan wanita dalam negara ini akan selamat jika mereka pulang bekerja di waktu malam dengan menaiki kenderaan keseorangan, mungkin juga ketika menaiki lif terdedah kepada bahaya menjadi mangsa rogol, ragut dan sebagainya?.

Apabila keselamatan hilang daripada realiti kehidupan manusia, ia menandakan bahawa Allah s.w.t mula menampakkan kemarahan-Nya dan sedikit demi sedikit menghukum manusia atas perbuatan dan tindakan mereka yang menyalahi ketentuan-Nya.

Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rum yang bermaksud: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Walau bagaimanapun jika manusia akur terhadap kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia ini, maka Allah s.w.t akan menukarkan rasa takut, rasa tidak selamat dan aman yang menjadi trauma kepada satu suasana yang menceria dan membahagiakan mereka, dengan syarat manusia mesti beriman, bertakwa dan beramal solih kepada-Nya.

Firman Allah menerusi ayat 55 surah an-Nur maksudnya: “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal solih dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguat dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan/keselamatan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Kenaikan harga minyak dan barangan juga dikenal pasti melonjakkan lagi rasa tidak tenang dan selamat di kalangan rakyat yang sering dihimpit dan menanggung beban kedangkalan pihak berkuasa yang tidak mengurus tadbir negara berasaskan elemen al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w yang akhirnya menjadi golongan merempat di negara sendiri. – mns

%d bloggers like this: