Musuh guna media arus perdana lagakan pemimpin PAS

salahuddin-ayubIrwan Muhammad Zain
KUALA LUMPUR, 27 April (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Pusat menafikan berlakunya perpecahan dalam parti sepertimana yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana.

Ketuanya, Salahuddin Ayub menegaskan Dewan Pemuda PAS akan tetap mempertahankan prinsip dan perjuangan PAS serta akan tetap menyokong kepimpinan yang bakal dipilih dalam muktamar nanti.

“Hari ini terdapat ramai musuh-musuh PAS yang cuba melaga-lagakan pucuk pimpinan PAS melalui media arus perdana.

“Mereka memberikan gambaran berlakunya perpecahan dalaman sedangkan ahli-ahli PAS semuanya taat dan setia kepada pemimpin dan perjuangan parti,” tegas beliau.

Beliau menegaskan siapa saja yang bakal dipilih dalam pemilihan nanti akan tetap meneruskan perjuangan PAS menegakkan keadilan dan membina sebuah negara yang ditadbir oleh kerajaan yang adil, telus dan berintegriti.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS tegas Salahuddin telah sedia maklum tentang prinsip perjuangan parti dan tidak akan membenarkan adanya sebarang perpecahan.

“Menjelang pemilihan ada pihak yang melontarkan fitnah bahawa wujud kem-kem tertentu dalam parti sedangkan perkara sedemikian tidak wujud.

“Peluang kepada mana-mana pemimpin untuk bertanding jawatan tertinggi menunjukkan perbezaan antara PAS dan Umno yang mana PAS ternyata lebih terbuka dan lebih memahami prinsip demokrasi,” tegas Salahuddin.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan kesetiaan ahli-ahli terdapat perjuangan parti boleh diumpamakan seperti ‘Satu PAS’ iaitu siapa pun yang bakal dipilih perjuangan akan diteruskan dan ahli-ahli akan tetap setia kepada pemimpinnya.

Justeru itu katanya, sebarang cubaan musuh-musuh PAS untuk memecah belahkan parti hanya sia-sia kerana ahli-ahli dan pemimpin parti akan bergerak dengan prinsip ‘Satu PAS’. – mks. _

sumber:harakahdaily

%d bloggers like this: