Pulau Tioman tiada sumber bekalan air sejak sebelum merdeka

imagesPULAU TIOMAN: Sebanyak 279 penduduk Kampung Salang, Pulau Tioman di sini, menghadapi kemelut ketiadaan sumber bekalan air bersih sejak sebelum merdeka.

Ketua Kampungnya, Abdul Kadir Harun berkata, selama ini penduduk kampung hanya menggunakan air yang disalurkan dari bukit berhampiran.

Menurutnya, bekalan tersebut juga sering mengalami masalah terutama di musim panas berikutan air di kawasan itu tidak mampu memberi bekalan secukupnya kepada penduduk.

“Masalah terputus bekalan sering menghantui kami, terutama apabila musim panas kerana punca air menjadi kering. Ini menyebabkan penduduk mengeluh apabila masalah ini sering menghantui mereka,” katanya.

Abdul Kadir berkata, Pulau Tioman tidak mempunyai sungai, kawasan tadahan, tasik, atau mata air bawah tanah menyebabkan mereka berhadapan masalah tersebut.

“Keadaan muka bumi di Pulau (Tioman) ini dilihat sebagai punca kegagalan penduduk menikmati sumber bekalan air bersih untuk kehidupan harian mereka,” katanya.

Beliau berkata, hujan musim tengkujuh antara Oktober dan Januari setiap tahun dianggap satu rahmat bagi penduduk di situ kerana air yang meresap ke dalam tanah boleh disedut keluar dan disimpan di dalam tangki.

“Sampai bila kita hanya menunggu musim hujan saja, sedangkan masalah seperti ini masih belum dapat diatasi segera,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan sumber air bersih juga boleh memberi implikasi terhadap kesihatan penduduk di kawasan itu berikutan air yang digunakan mereka berkemungkinan tercemar.

“Risiko air tercemar tinggi kerana penduduk hanya bergantung kepada air bukit, dan ini sekali gus menyebabkan kesihatan mereka boleh terjejas,” katanya.

Abdul Kadir berkata, keadaan seperti ini sepatutnya dipandang serius kerajaan dalam membekalkan kemudahan asas kepada penduduk.

Menurutnya, sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, dikhuatiri kehadiran pelancong ke Pulau Tioman yang diiktiraf sebagai antara 10 pulau tercantik di dunia turut terjejas.

“Macam mana pelancong mahu datang ke Pulau Tioman, sekiranya aspek kemudahan asas seperti ini masih belum sempurna, sekali gus menyebabkan mereka hilang minat untuk melancong di pulau ini,” katanya.

~ Sinar Harian

Copy Dari Sidangonline

%d bloggers like this: